Mesyuarat khas Majlis Tertinggi (MT) Umno hari ini memberi perhatian terhadap isu kenaikan harga barang dan minyak yang tinggi, dan subsidi petrol yang meningkat sehingga RM55 bilion, kata perdana menteri, Datuk Sri Abdullah Badawi.
“Jawatankuasa kabinet menangani inflasi akan membincangkan tindakan yang perlu diambil untuk mengurangkan beban rakyat. Walau bagaimanapun, perkara ini akan dihalusi terlebih dahulu dan disahkan,” katanya
Mengikut Abdullah, peningkatan harga padi dan beras sekarang ini berlaku di seluruh dunia.
“Jawatankuasa ini akan bermesyuarat Isnin ini. Semua akan dibahaskan. Selepas itu kenyataan akan dikeluarkan,” kata Abdullah dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas itu di PWTC lewat petang tadi.
Ditanya sama ada dibincangkan perkara berkaitan usaha Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengaruhi ahli parlimen BN di Sabah, Abdullah menjawab: “Tak timbul langsung.”
Ditanya sama ada beliau bimbang dengan perkembangan tersebut, Abdullah memberikan jawapan yang sama.
Menjawab soalan tentang bagaimana usaha Umno untuk menarik kembali sokongan orang Melayu yang merosot terhadap parti itu, Abdulah berkata: “Umno masih memerintah. Masih ada sokongan, kerusi pun banyak lagi.”
Perkuatkan parti
Beliau berkata, Umno sedang berusaha untuk menguatkan parti.
Ditanya sama ada laporan suruhanjaya diraja menyiasat skandal pita Linggam akan diumum kepada awam, perdana menteri berkata: “Saya belum tengok lagi.”
Beliau menjelaskan perlu baginya melihat terlebih dahulu untuk membuat sebarang keputusan.
“Saya mesti lihat, halusi dan tentu kabinet perlu tahu,” katanya.
Dalam sidang media itu juga Abdullah ditanya sama ada kabinet akan membincangkan isu berhubung kenyataan pengerusi DAP yang juga ahli parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh yang didakwa mempersoalkan bidangkuasa Sultan Perak, Abdullah menjawab tidak.
Abdullah yang juga presiden Umno berkata, beliau menyerahkan perkara itu untuk tindakan peguam negara.
Isu Karpal Singh
“Jika boleh (ia) dibawa ke mahkahmah. Harapnya cepat”, kata Abdullah.
Menjawab soalan sama ada veteren DAP itu akan ditahan di bawah ISA, secara bergurau beliau menjawab: “Kalau (hendak ditahan di bawah) ISA, dah lama dah.”
Abdullah juga tidak memberikan komen terhadap soalan wartawan mengenai kejadian seorang ahli parlimen DAP dipukul anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dalam kejadian penduduk menbantah pembinaan tembok penghalang jalan di situ yang digunakan mereka untuk mengelak bayaran tol.
“Saya tidak ada laporan lengkap (mengenai kejadian itu),” tambahnya.
Dalam kejadian itu, ahli parlimen Segambut Lim Lip Eng dan pengerusi jawatankuasa buka jalan Bandar Mahkota Cheras (BMC) didakwa dipukul oleh anggota polis berpakaian biasa.