Pengerusi suruhanjaya diraja menyiasat skandal klip video Lingam, Tan Sri Haidar Mohd Noor berpendapat laporan suruhanjaya tersebut boleh diumumkan kepada awam, tetapi hanya kerajaan yang boleh mengumumkannya.
"Saya tidak boleh mendedahkan sebarang dokumen kepada awam, hanya kerajaan yang boleh mengumumkannya," katanya ketika dihubungi selepas menyerahkan laporan tersebut kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pagi ini.
Katanya, laporan tersebut adalah setebal 186 muka surat dan mengandungi empat cadangan.
Haidar berkata, untuk mendedahkan laporan itu kepada awam ia adalah kepuitusan kerajaan.
"Untuk itu kita menunggu perdana menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk membuat keputusan," katanya lagi.
Bagaimanapun, Haidar enggan mengulas mengenai cadangan-cadangan yang dibuat oleh suruhanjaya tersebut.
Serah pada PM hari ini
Lain-lain pesuruhjaya ialah bekas ketua hakim Sabah dan Sarawak Steve Shim Lip Kiong, bekas hakim mahkamah rayuan Mahadev Shankar, Zaitun Zawiyah Puteh dan Professor Dr Khoo Kay Kim.
Sementara itu, setiausaha suruhanjaya tersebut, Datuk Abdullah Sani pula memberitahu pemberita, secara peribadi beliau juga bersetuju laporan itu diumumkan kepada awam
Katanya, ia bergantung kepada kerajaan dan "kita tunggu perdana menteri membuat keputusan (mengenainya)".
Saya akan menyerahkan laporan ini hari ini kepada Abdullah," tambahnya.
Mengulas mengenai pertemua hari ini, Abdullah berkata, Yang di-Pertuan gembira dengan cadangan-cadangan itu.
Klip video itu didedahkan oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ia menunjukkan peguam kanan, Datuk VK Lingam sedang bercakap melalui telefon, didakwa dengan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.
Perbualan tersebut adalah mengenai usaha menentukan pelantikan rakan-rakan kanan 'yang sehaluan'.
Klip video itu yang dikatakan dirakam pada tahun 2002, turut mendedahkan perbincangan mengenai pelantikan Ahmad Fairuz sebagai ketua hakim negara, yang menjadi menjadi kenyataan pada tahun 2003.
Di samping klip video tersebut, Anwar juga mendedah rakaman audio di mana namanya turut disebut.