Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Maidam: T'ganu kembalikan kuasa mutlak Sultan
Diterbitkan:  May 8, 2008 6:39 PM
Dikemaskini: 10:46 AM

Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu hari ini sebulat suara meluluskan Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam (Terengganu) (Pindaan) 2008, yang menyerahkan semula kuasa mutlak menentu dan melantik anggota Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Negeri Terengganu (Maidam) kepada Sultan.

Menteri Besar Datuk Ahmad Said berkata sebelum ini, pelantikan anggota Maidam diletakkan di bawah bidangkuasa menteri besar mengikut Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam (Terengganu) 2001.

"Pindaan ini hanya mengembalikan semula kuasa kepada pemilik asal dan saya tidak nampak sebarang implikasi besar di atas tindakan ini.

"Kita rasa lebih selesa dengan suasana sekarang kerana tidak mahu apa-apa perkara dipolitikkan," katanya ketika ditemui selepas sidang DUN Terengganu, ditangguhkan hari ini.

Menurut Bernama, antara pindaan yang dibuat ialah Seksyen 8 enakmen berkenaan, iaitu majlis tersebut hendaklah terdiri daripada seorang yang dipertua, seorang timbalan yang dipertua, mufti dan tidak lebih daripada 14 anggota lain yang dilantik oleh Sultan mengikut budibicara baginda.

Selain itu, pindaan dilakukan terhadap Seksyen 11 iaitu memberi kuasa budibicara yang mutlak kepada Sultan untuk membatalkan pelantikan mana-mana anggota Maidam serta Seksyen 13, yang berbangkit daripada pindaan kepada Seksyen 8.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS