Menteri di jabatan perdana menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz berkata, Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) sudah tidak sesuai untuk digunakan di kalangan pelajar negara ini.
"Ini tahun 2008...akta ini sudah ketinggalan dan saya menyokong Auku dimansuhkan.
"Tetapi untuk memansuhkab Auku ia perlu mendapat keputusan ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno dan kabinet," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.
Nazri berkata, beliau sedia membawa isu ini ke MT dan kabinet untuk dibincangkan jika ada pihak yang mahu berbuat demikian.
Bagaimanapun, katanya sehingga ini belum ada pihak yang mahu beliau berbuat demikian.
Ketika ditanya mengenai janji menteri pengajian tinggi untuk memansuhkan akta tersebut, Nazri berkata, menteri itu akan mengkajinya sebelum dibawa ke peringkat lebih tinggi.
Nazri berkata demikian ketika diminta mengulas gerakan mahasiswa mansuhkan Auku (GMMA) yang berkempen di Parlimen hari ini supaya akta tersebut dimansuhkan.
Mesti kota janji
Dalam kempen tersebut, beberapa ahli GMMA mengedarkan risalah kepada ahli-ahli parlimen kerajaan dan pembangkang untuk menyokong tuntutan mereka.
GMMA disokong oleh Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Pergerakan Demokratik Pelajar dan Belia Malaysia (Dema), Gabungan Mahasiawa Islam Malaysia (Gamis), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), kelab Rakan Islah Malaysia (Karisma), Teras Keupayaan Melayu (Teras), Barisan Bersatu Mahasiswa Negara (BBMN), Persatuan Undang-undang Universiti dan Majlis Antara Universiti (IVC).
Seorang sekretariat GMMA, Mohd Amirul Mohd Letfee berkata, pihaknya kecewa kerana kerajaan hanya tahu berjanji untuk memansuhkan akta tetapi tetapi gagal mengotakan janji itu.
Katanya, memansuhkan Auku bukan bermakna mahasiswa boleh bebas berpolitik tetapi mahu berpolitik dalam dunia mahasiswa sahaja.
"Ini untuk kebaikan mahasiswa itu sendiri," katanya.