Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sabah: Komponen baru sertai Pakatan Rakyat?
Diterbitkan:  May 7, 2008 5:26 PM
Dikemaskini: 9:28 AM

Pakatan Rakyat dijangka mempunyai komponen baru dari Sabah, dan ini menguatkan lagi desas-desus bahawa ia cuba menarik ahli parlimen Barisan Nasional (BN) menyertai mereka.

Selain daripada PKR, DAP dan PAS, kata naib presiden PKR, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, komponen-komponen baru dijangka menyertai Pakatan Rakyat Sabah.

Menurut laporan Bernama, beliau berkata, Pakatan Rakyat Sabah akan dibentuk tidak lama lagi untuk membentuk kumpulan pembangkang secara rasmi dan menyelaraskan aktivitinya di negeri itu.

Dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu, Pakatan memenangi satu kerusi negeri dan satu kerusi parlimen - kedua-duanya dimenangi oleh calon DAP.

Manakala di Semenanjung, Pakatan menguasai lima negeri di Semenanjung - Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Kelantan.

"Jika pembangkang berharap untuk menang dan memerintah negeri ini di masa depan, ia perlu mula merancang dan bekerjasama mulai sekarang.

"Kami tidak boleh berpecah dan bersaing sesama sendiri sepertimana pada pilihan raya umum lepas, kerana kami hanya ada satu parti untuk dilawan, kerajaan BN," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebaik sahaja Pakatan Rakyat dibentuk secara rasminya di Sabah, wakil rakyatnya akan mendapat maklumat penuh dan sokongan penyelidikan untuk memastikan ahlinya menjalankan tugas mereka secara professional dalam Dewan Undangan Negeri dan Parlimen, katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS