Keputusan kontroversi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) untuk membatalkan penggunakan dakwat beberapa hari sebelum pilihanraya umum 8 Mac lalu berdasarkan kepada laporan polis yang dibuat berasaskan khabar angin, demikian Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Pendedahan yang mengejut itu terkandung dalam jawapan bertulis Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar kepada soalan ahli parlimen DAP dari Batu Gajah, Fong Po Kuan.
Pada 4 Mac lalu, SPR memutuskan pada saat-saat akhir pembatalan penggunaan dakwat tersebut - yang selama ini dituntut oleh badan-badan yang memperjuangkan reformasi pilihanraya bagi mengelak penyelewengan - atas alasan ketenteraman awam dan isu-isu keselamatan.
SPR menggunakan alasan itu berdasarkan laporan polis yang mendakwa, ada pihak-pihak tertentu telah membeli dakwat tersebut dari luar negeri, dengan niat untuk mencetuskan kekeliruan dan syak wasangsa mengenai status pengundi.
Bagaimanapun, menurut jawapan kepada ahli parlimen Batu Gajah itu, Syed Hamid berkata, siasatan polis tidak menemui sebarang bukti di sebalik dakwaan tersebut selepas tiga kertas siasatan dibuka.
"Setelah laporan tersebut diteliti, dan pihak polis telah menemubual pengadu serta saksi-saksi, didapati tiada sebarang bukti menunjukkan dakwat tersebut dibawa dari negara Thailand. Ini kerana tidak ada seorang saksipun yang pernah melihat dakwat tersebut.
"Daripada keterangan saksi, tiada sebarang individu, sindiket atau pihak-pihak tertentu yang dikenalpasti terlibat dalam kegiatan ini. Keterangan pengadu dan saksi adalah merupakan khabar angin dan tiada sebarang individu yang dicam atau dikenali secara positif," kata Syed Hamid lagi.
Berikutan itu, tegas Syed Hamid, tiga kertas siasatan yang dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara pada 14 dan 21 Mac, kemudiannya di klasifikasikan sebagai 'tiada tindakan lanjut'.
Syed Hamid juga berkata, pengadu membuat aduan polis kerana mereka bimbang dakwat tersebut boleh dibeli dengan mudah di Thailand dan akan disalahgunakan sewaktu pilihanraya umum 8 Mac lalu.