Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Tun Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan tindakan perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memperkenalkan Suruhanjaya Pelantikan Hakim kerana ia memerlukan sokongan pembangkang.

Mantan perdana menteri itu berkata, penubuhan suruhanjaya itu memerlukan pindaan perlembagaan sedangkan kerajaan BN tidak mempunyai majoriti dua pertiga dalam parlimen.

Dalam tulisan sulung di blognya "Dr Mahathir Mohamad" (www.chedet.com), beliau berkata pindaan ini hanya boleh dilakukan dengan sokongan sekurang-kurangnya sembilan undi ahli parlimen pembangkang.

dr mahathir blog chedet dot com website 010508 "Apakah kerajaan bercadang bekerjasama dengan pembangkang berkenaan isu ini, dan menunjukkan kelemahan mereka (kerajaan) sendiri?

"Adakah ia akan memulakan quid pro quo (sesuatu untuk sesuatu), tawar-menawar dengan pembangkang? Tentu menarik melihat bagaimana PM bercadang mengendalikan hal ini."

Beliau juga bertanya kedudukan dan peranan perdana menteri dalam suruhanjaya.

"Tentu menarik jika kita dapat mengetahui perincian lengkap prosedur (suruhanjaya), terutamanya peranan perdana menteri," katanya.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Abdullah pada majlis jamuan makan malam anjuran Majlis Peguam 17 April lalu.

Ia ditubuhkan untuk memulihkan kewibawaan sistem kehakiman yang dianggap tercemar sejak krisis 1998. Di majlis yang sama, perdana menteri juga mengumumkan bayaran ex-gratia kepada lima bekas hakim kanan yang terbabit dalam krisis itu, termasuk bekas ketua hakim negara Tun Mohd Salleh Abbas.

bar council judiciary dinner 170408 salleh abas gani patail zaid ibrahim Dr Mahathir membangkitkan persoalan-persoalan itu berikutan tiada keterangan lanjut dibuat selepas pengumuman dua minggu lalu.

"Adakah suruhanjaya ini akan melantik sendiri hakim-hakim atau adakah ia hanya mencadangkan nama-nama untuk persetujuan PM, atau adakah suruhanjaya itu mencadangkan (nama-nama) terus kepada (Yang di-Pertuan) Agong supaya baginda dapat menggunakan kuasa istimewanya (melantik hakim)?" katanya.

"Atau perlukah Agong menunggu perkenan Majlis Raja-raja Melayu? Atau Majlis Raja-raja hanya memberi nasihat seperti amalan sekarang?

"Atau Raja-raja berhak menolak calon (hakim), dan meminta calon-calon baru atau menamakan calon baru yang menjadi pilihan mereka?"

Tambahnya, pelantikan hakim telah termaktub dalam perlembagaan dan sebarang perubahan harus melibatkan pindaan dokumen penting tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS