Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pemuda PAS Johor mendesak agensi berita Bernama memohon maaf dan membetulkan laporannya yang mendakwa ketua pergerakan itu turut mengiringi seorang pelajar ke balai polis dalam kes hasutan bunuh terhadap pengerusi DAP Karpal Singh.

Ketua pergerakan itu Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata Pemuda PAS negeri bersedia menyaman agensi berita nasional itu jika "permohonan maaf dan penjelasan secara terbuka tidak dilakukan dalam tempoh tujuh hari" mulai hari ini.

"Saya cukup terkilan kerana saya dan Pemuda PAS Johor telah dikaitkan secara langsung sehinggakan nama saya telah disiarkan tanpa mendapatkan maklumat terus daripada saya oleh wartawan Bernama ," kata Khairul Faizi.

dap karpal singh "Setelah berita ini disiarkan, saya telah mendapat kritikan daripada beberapa pihak terhadap tindakan saya kerana (disalahanggap) telah mengiringi pelajar tersebut ke balai polis sedangkan perkara tersebut tidak ada kaitannya secara langsung dengan saya dan Pemuda PAS Johor."

Bernama kelmarin melaporkan, pelajar kolej berumur 19 tahun menyerah diri kepada polis berhubung dakwaan menghasut bagi pembunuhan Karpal, yang juga ahli parlimen Bukit Gelugor, dalam laman web PAS Johor.

Remaja itu yang dilaporkan diiringi bapanya dan empat anggota Pemuda PAS negeri yang diketuai Khairul Faizi tiba di balai polis Johor Bahru selatan pada pukul 1 tengah hari.

Selepas keterangannya direkodkan oleh polis, lapor agensi berita itu lagi, pelajar itu ke pejabat naib pengerusi DAP Johor, Norman Fernandez pada 4 petang.

Khairul Faizi semalam telah menafikan penglibatannya dan juga barisan pemimpin Pemuda PAS negeri.

Dalam kenyataannya kepada Malaysiakini selepas mengadakan sidang media di Johor Bahru hari ini, Khairul Faizi turut melahirkan rasa terkilan kerana pihak Bernama "langsung tidak memohon maaf atas kesilapan penyiaran maklumat" tersebut.

Malah, tambahnya, agensi berita itu meminta beliau berhubung sendiri dengan naib pengerusi DAP negeri itu bagi mendapatkan penjelasan.

Menurutnya lagi, agensi berita itu mendakwa kepadanya bahawa sumber maklumat itu daripada Fernandez sendiri.

Menurut blog ketua Pemuda itu, turut hadir di sidang media tadi, ketua penerangan Pemuda PAS pusat Suhaizan Kaiat, bendahari Pemuda PAS negeri Ruhaizam Abd Hamid dan exco pergerakan itu Za’aba Ibrahim.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS