kemaskini 11:18pm Jutaan nyamuk "pendekar" yang akan dilepaskan untuk menentang aedes bagi mengawal peningkatan kes denggi boleh membawa mudarat kepada alam sekitar dan kesihatan manusia yang serius, kata Sahabat Alam Malaysia (SAM).
Oxitec Ltd, sebuah syarikat Britain, dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dilaporkan sedang merancang melepaskan jutaan nyamuk "pendekar" - yakni spesies jantan Aedes aegypti yang telah diubah genetiknya - di Pulau Ketam, Selangor untuk menguji keberkesanan kawalan biologi tersebut.
Sambil menyatakan bantahan kerasnya, presiden SAM S M Mohamed Idris berkata apabila organisme yang diubah bakanya dilepaskan ke alam sekeliling, ia tidak boleh lagi ditarik balik seumpama barangan yang dipasarkan.
"Kami mendesak kerajaan menghentikan semua kajian tentang aedes yang diubah genetiknya, termasuk ujian di lapangan, dan menyalurkan dana dan usaha kajian ke arah kaedah-kaedah mesra alam untuk mengawal denggi," katanya.
"Jika ia bercampur dan membiak silang dengan hidupan lain yang sama, atau lebih, berbahaya dengan aedes, tidak ada jalan untuk kita menghalang proses ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
"Oleh itu, kita seharusnya sangat berhati-hati dan mengambil prinsip berjaga-jaga sebelum kita campur tangan dalam proses alam."
IMR, sebuah institut bawah Kementerian Kesihatan, dengan kerjasama syarikat tersebut, yang ada hubungan dengan universiti Oxford, dilaporkan bercadang melepaskan nyamuk-nyamuk "pendekar" itu akhir tahun ini atau awal tahun depan.
Ujian di pulau nelayan itu selepas kejayaan kajian peringkat makmal yang dijalan oleh IMR, lapor New Sunday Times hujung minggu lalu.
Mohamed menambah, selagi tiada jaminan pengenalan nyamuk yang diubah genetik ini tidak membawa mudarat kepada alam sekitar, "kita tidak patut mencubanya (langkah ini)."
"(Lagipun) tiada undang-undang (di Malaysia) untuk memastikan persekitaran dan masyarakat kita dilindungi secukupnya daripada kesan mudarat kejuruteraan genetik.
"Akta Biokeselamatan hanya diluluskan di parlimen baru-baru ini dan tidak terdapat peraturan dan keupayaan teknikal untuk memastikan keselamatan, kestabilan ekologi dan kepentingan sosio-ekonomi kita dilindungi secukupnya," kata tokoh aktivis itu, yang juga presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).
"Oleh itu, membenarkan syarikat mempromosikan hidupan yang diubah baka menjalankan ujian lapangan produk-produk mereka akan mendedahkan negara kita kepada risiko yang tidak perlu."
Ujian lapangan itu bagi memerangi denggi yang menjadi penyakit bawaan vektor yang kian serius di negara ini.
Mulai 2003, penyakit ini meningkat 16 peratus setiap tahun. Pada 2004, kes kematian mencecah rekod tertinggi apabila 102 menemui ajal, manakala tiga bulan pertama tahun ini mencatatkan 9,800 kes dengan 25 kematian.
SAM mengingatkan pihak berkuasa, ahli-ahli sains dan penyelidik negara ini agar tidak terpedaya dengan dakwaan berlebihan dan cakap-cakap indah pihak yang mempromosikan hidupan dan tanaman yang diubah bakanya.
"Kita dijanjikan oleh syarikat yang mempromosikan tanaman yang diubah genetik bahawa ia akan memberi banyak manfaat, termasuk kurang menggunakan racun makhluk perosak.
"Dakwaan ini telah terbukti tidak benar," kata Mohamed.
Menurutnya, satu laporan menunjukkan pengenalan jagung, kacang soya dan kapas yang diubah bakanya di Amerika Syarikat pada 1996 telah meningkatkan penggunaan racun makhluk perosak.
Pada peringkat awal (antara 1996-1998), menurut laporan Northwest Science and Environmental Policy Center, racun yang digunakan berkurangan tetapi meningkat pada tahun 2001 hingga 2003.
Laporan yang disediakan 400 ahli sains yang diterbitkan minggu lalu, tambah Mohamed, menyebut "penilaian terhadap teknologi ini (tanaman diperbaiki genetik) ketinggalan berbanding pembangunannya, maklumat (tentangnya) hanya bersifat cerita-cerita dan bercanggahan, keraguan tentang manfaat masa depan dan mudaratnya tidak boleh dielakkan."
SAM berkata, berdasarkan keraguan yang ditimbulkan oleh ahli-ahli sains tersebut, pihak berkuasa Malaysia tidak wajar membenarkan ahli sains dan syarikat yang mengejar keuntungan daripada teknologi dan produk yang diubah genetik "mempermain-mainkan Tuhan" dengan mencipta dan memperkenalkan hidupan baru, serangga dan haiwan di alam sekitar negara ini.