Kerajaan akan berusaha meneruskan pemberian subsidi dan pelbagai bantuan lain demi kesejahteraan rakyat khususnya dalam menghadapi kesan langsung kenaikan harga minyak di pasaran antarabangsa.
Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan bertitah, lebih RM36 bilion diperuntukkan untuk tujuan itu bagi membendung kenaikan harga barang dan meringankan beban perbelanjaan rakyat.
"Paras harga minyak di pasaran antarabangsa yang tinggi telah memberi kesan langsung kepada harga barangan dan perkhidmatan.
"Sehubungan ini, kerajaan mengambil pelbagai langkah termasuk mengenakan kawalan harga dan mempertingkatkan aktiviti penguatkuasaan untuk membendung kenaikan harga demi kesejahteraan rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah," titah baginda.
Bertitah merasmikan pembukaan penggal pertama persidangan parlimen ke-12 di Dewan Rakyat, baginda amat kesal dengan tindakan sesetengah pihak yang telah menyalah guna kemudahan subsidi itu dengan menyorok dan menyeludup barangan keperluan yang berkenaan ke luar negara demi mengaut keuntungan besar.
"Perbuatan tersebut sangat hina kerana mendatangkan kesusahan dan merampas hak rakyat," titah baginda.
Berangkat sama ialah Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah. Antara yang hadir termasulklah ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, selaku suami kepada ketua pembangkang Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR-Permatang Pauh).
Menurut laporan Bernama , baginda turut mengingatkan rakyat bahawa langkah yang diambil kerajaan tidak mencukupi jika rakyat sendiri tidak mengamalkan sikap bijak berbelanja.
Proses pilihanraya
Baginda turut melahirkan penghargaan kepada semua pihak atas kelancaran proses pilihanraya umum 8 Mac lalu dan ahli-ahli parlimen menjadikan kepentingan negara sebagai matlamat utama mereka dan tidak menggunakan Dewan Rakyat bagi kepentingan politik individu.
Tuanku Mizan seterusnya bertitah kepada semua pihak agar memikul tanggungjawab memastikan semua kaum bersatu padu dan menangkis segala cubaan untuk memecahbelahkan rakyat kerana kunci kejayaan negara adalah hasil kestabilan politik dan perpaduan kaum.
Baginda turut menyentuh usaha kerajaan dalam menangani gejala rasuah dengan menstrukturkan semula Badan Pencegah Rasuah (BPR) menjadi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di samping menubuhkan jawatankuasa parlimen mengenai pencegahan rasuah.
Titah baginda lagi, pencapaian ekonomi dan pembangunan yang dinikmati selama ini tidak akan bermakna jika rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan masih berlaku.
Mengenai pengumuman perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini untuk memperkasakan sistem kehakiman negara, Tuanku Mizan bertitah ia menunjukkan komitmen kerajaan dalam memastikan sistem itu terus kekal adil, dihormati dan bebas daripada sebarang pengaruh selaras dengan kehendak rakyat.
"Sistem kehakiman yang adil dan efektif adalah penting untuk meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem perundangan negara," titah baginda.
Koridor ekonomi
Mengenai pembangunan lima koridor pembangunan wilayah ekonomi, baginda mahu kerajaan memastikan pelaksanaannya memberi manfaat kepada semua rakyat.
Titah baginda, ini kerana projek pembangunan ekonomi itu tidak hanya tertumpu kepada kawasan tertentu tetapi meliputi seluruh negara, selain bakal mewujudkan lebih 12 juta pekerjaan dalam pelbagai sektor.
Sehubungan itu, baginda berharap pelaksanaan lima koridor tersebut akan menggiatkan lagi aktiviti ekonomi, menaikkan taraf hidup rakyat, membasmi kemiskinan serta mengurangkan jurang pendapatan antara kaum, negeri dan wilayah.
Baginda bertitah, ekonomi negara tahun lalu berkembang 6.3 peratus melebihi sasaran enam peratus dan pendapatan per kapita, meningkat melebihi RM23,000 manakala kadar inflasi kekal rendah pada dua peratus dan kadar pengangguran pada 3.3 peratus.
Tuanku Mizan seterusnya mahu kerajaan menilai semula keutamaan program dan projek pembangunan yang dilaksana dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) semasa kajian separuh penggal kelak bagi mencapai lima teras Misi Nasional.
Selain itu, titah baginda, kajian separuh penggal RMK9 juga mesti memberi tumpuan kepada usaha-usaha meningkatkan daya tahan dan daya saing negara.
Kurang kadar kemiskinan
"Beta menghargai kesungguhan kerajaan beta melaksanakan projek-projek pembangunan di bawah RMK9. Sehingga Mac lalu sebanyak RM81.7 bilion bersamaan 40.8 peratus daripada peruntukan sebanyak RM200 bilion telah dibelanjakan.
"Ini telah memberi kesan positif kepada pertumbuhan ekonomi negara terutamanya sektor pembinaan dan industri berkaitan pembinaan. Beta berharap kadar pertumbuhan yang mapan ini dapat dikekalkan," titah baginda.
Tuanku Mizan bertitah baginda turut berbangga dengan kejayaan kerajaan mengurangkan kadar kemiskinan kepada 3.6 peratus berbanding 75 peratus semasa negara mencapai kemerdekaan, manakala kadar kemiskinan tegar berjaya dikurangkan kepada 0.7 peratus.
"Beta yakin kemiskinan tegar akan dapat dihapuskan menjelang tahun 2010," titah baginda.
Baginda juga mahu kerajaan, dalam menghadapi persekitaran yang semakin mencabar agar meningkatkan usaha-usaha meneroka sumber-sumber pertumbuhan dan pasaran baru di samping memperluaskan pasaran sedia ada, menghasilkan produk dan perkhidmatan baru, membina perkongsian pintar serta mempertingkatkan kecekapan dan produktiviti.
Tuanku Mizan juga bertitah baginda yakin kejayaan lebih besar akan dikecap apabila negara memasuki fasa 50 tahun yang kedua selepas kemerdekaan standing dengan negara-negara maju.