Seorang pelajar kolej berumur 19 tahun hari ini menyerah diri kepada polis berhubung dakwaan menghasut bagi pembunuhan pengerusi DAP Karpal Singh dalam lamanweb PAS Johor.
Diiringi bapanya dan empat ahli Pemuda PAS Johor yang diketuai pemimpinnya Khairul Faizi Ahmad Kamil, pelajar lelaki itu tiba di ibu balai polis Johor Baharu selatan pada jam 1 tengah hari.
Menurut Bernama, selepas keterangannya direkodkan oleh polis, pelajar itu pergi ke pejabat naib pengerusi DAP Johor Norman Fernandez pada jam 4 petang.
“Semasa di pejabat saya, beliau menulis surat memohon maaf dan menyatakan rasa kesal kepada Karpal kerana memuatkan komen itu dalam lamanweb itu.
“Pelajar itu juga berjanji tidak akan memuatkan mesej seumpama itu lagi di masa depan," kata Fernandez.
Fernandez juga berkata pelajar itu, yang namanya dirahsiakan, berharap Karpal akan memaafkannya dan menarik balik laporan polis yang dibuat terhadapnya.
Jumpa Karpal
Katanya DAP Johor akan bertemu Karpal esok untuk menyampaikan surat itu.
"Terserah kepada Karpal untuk membuat keputusan mengenai perkara itu," katanya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, SAC II Amer Awal semasa dihubungi berkata polis akan menyiasat kes itu mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan bagi ugutan jenayah.
Polis juga dijangka merekodkan kenyataan daripada beberapa orang lagi.
Dalam laporan polis Sabtu lalu di Pulau Pinang, Karpal mendakwa komen pengulas yang dikenali sebagai "Alif" dalam lamanweb PAS, berbaur ugutan bunuh.
Katanya komen itu mendakwa beliau (Karpal) telah menghina Islam dan “darahnya halal dibunuh.”