Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sepuluh daripada 13 ketua Umno bahagian di Wilayah Persekutuan (WP) menyokong kepimpinan Datuk Seri Zulhasnan Rafique sebagai pengerusi badan perhubungan Umno, kata ketua penerangannya Datuk Datuk Suhaili Abdul Rahman.

Menurutnya, mereka menandatangani surat sokongan tersebut selepas menghadiri mesyuarat ketua-ketua bahagian Wilayah Persekutuan pada 26 Mac lalu.

suhaili abdul rahman Hanya tiga ketua bahagian - Zulhasnan (Setiawangsa), Tengku Adnan Tengku Mansor (Putrajaya) dan Datuk Syed Ali Al Hasbshee (Cheras) - tidak menghadiri mesyuarat tersebut, kata Suhaili dalam satu sidang akhbar di sebuah hotel terkemuka di ibu negara.

Bagaimanapun, katanya, bahagian Cheras menghantar wakil tetapi beliau tidak menandatangani surat sokongan tersebut.

Suhaili berkata, mesyuarat tersebut diadakan untuk menentukan siapakah yang layak menjadi pengerusi badan perhubungan Umno Wilayah Persekutuan.

Hadir sama di sidang akhbar hari ini, setiausaha perhubungan Umno WP Ridzuan Hamid yang juga ketua bahagian Kepong, Datuk Rahim Baba (Bandar Tun Razak), Datuk Hisham Majid (Seputeh) dan empat ketua penerangan bahagian - Hamzah Wahab (Bandar Tun Razak), Alang Zahari (Segambut), Datuk Yusof Izhar (Titiwangsa) dan Mohd Kassim Karim (Seputeh).

Dalam mesyuarat tersebut, tambah Suhaili, ada juga bahagian yang mencalonkan Tengku Adnan sebagai ketua perhubungan, tetapi setiausaha agung Umno itu menolaknya.

zulhasnan rafique "Jawapan Tengku Adnan itu dihantar melalui SMS kepada Datuk Zulhasnan (kiri) selepas mesyuarat pada 26 Mac lalu.

"SMS itu berbunyi 'Tok saya tidak berminat ini pandangan Syed Ali' dan dihantar kepada Zulhasnan yang kemudiannya diedarkan kepada ketua-ketua bahagian yang lain," katanya.

Parti komponen kalah

Semalam Umno bahagian Cheras mengadakan perhimpunan khas (EGM) dan meluluskan 15 resolusi, termasuk menggesa Zulhasnan melepaskan jawatan pengerusi badan perhubungan WP ekoran kekalahan teruk BN dalam pilihanraya umum 8 Mac.

Ketua bahagian tersebut, Datuk Syed Ali Al Hasbshee dilaporkan berkata Tengku Adnan perlu dilantik menggantikan Zulhasnan.

tengku adnan mansor 02 Katanya, ini kerana dalam pilihanraya umum 2004, ketika Tengku Adnan (kanan) menjadi pengerusi BN, Wilayah menang sembilan kerusi parlimen, tetapi kini tinggal tiga sahaja, termasuk Labuan dan Putrajaya.

Mengulas usul tersebut, Suhaili berkata tidak adil untuk menyalahkan Zulhasnan ekoran kekalahan BN dalam pilihanraya umum lalu.

"Umno hanya kalah dua kerusi daripada lima yang ditandinginya. Sebaliknya, parti-parti komponen BN lain kalah semua lapan kerusi yang mereka tandingi.

"Ini kerana penyokong dan parti-parti komponen BN tersebut tidak menyokong calon parti mereka. Keputusan pilihanraya di Cheras sejak 1999 mendapati sokongan kepada calon DAP semakin meningkat.

"Jika pada 1999, DAP menang dengan majoriti kira-kira 8,000 undi, ia telah meningkat kepada lebih 28,000 undi dalam pilihanraya umum lalu.

"Jadi Umno bahagian Cheras patut dipertanggungjawabkan ekoran kekalahan itu.

syed ali al habshee "Jika Datuk Syed Ali minta Datuk Zulhasnan digantikan kerana kekalahan teruk di Cheras, (maka) Datuk Syed Ali (mesti) terlebih dahulu meletak jawatan," tegas Suhaili.

Kelemahan parti

Menurutnya, gesaan supaya Zulhasnan digantikan hanyalah pandangan bahagian Cheras dan tidak disokong oleh bahagian-bahagian lain.

"Kita meminta Datuk Syed Ali berhenti menggunakan media untuk mendedahkan kelemahan parti, sebaliknya bersama-sama menarik keyakinan rakyat terhadap Umno.

"Kita tidak mahu pandangan Cheras itu (seolah-olah) mewakili 12 bahagian Umno yang lain di Wilayah Persekutuan. Ahli Umno Cheras berapa saja.

"Pendirian ketua-ketua bahagian tidak sama dengan pendirian Datuk Syed Ali," tambahnya.

Mengenai EGM yang diadakan oleh Umno bahagian Cheras semalam, Suhaili berkata, ia hak Syed Ali untuk mengadakannya.

"Adalah tidak benar untuk mengatakan Umno Wilayah Persekutuan dalam huru-hara. Keputusan kami ialah menyokong Datuk Zulhasnan sebagai ketua perhubungan.

"Bagaimanapun, kami tidak mahu mencampuri resolusi yang dibuat dalam EGM Umno Cheras. Ini bermakna keputusan mesyuarat ketua bahagian pada 26 Mac lalu adalah kekal," kata Suhaili.

Beliau mengakui memang ada "angin-angin" yang menegur kelemahan Umno WP "tetapi itu perkara biasa sahaja".

Suhaili juga berkata, pihaknya telah menghantar surat kepada perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bagi menyatakan sokongan kepada Zulhasnan yang juga menteri Wilayah Persekutuan.

'Pemimpin syok sendiri'

Ditanya sama ada bahagian-bahagian lain akan turut mengadakan EGM, beliau berkata, ia terpulang kepada mereka.

"Bahagian Cheras tidak pernah meminta restu daripada badan perhubungan WP untuk mengadakan EGM tetapi kita tidak membantah.

"Kita mengakui ada kelemahan dalam Umno WP tetapi kita sedang mengkajinya. Saya tidak mempertikaikan hak Umno Cheras mengadakan EGM," tambahnya.

Suhaili juga berkata, badan perhubungan Umno WP juga belum menerima surat daripada bahagian Bandar Tun Razak untuk mengadakan EGM Khamis ini.

Ketika itu, ketua bahagian itu Datuk Rahim Baba yang turut hadir di sidang akhbar tersebut, mencelah dan berkata bahagiannya sudahpun menghantar surat tersebut.

Bagaimanapun, Suhaili menjawab pihaknya belum menerima surat tersebut.

Selain itu, beliau turut menjelaskan bahawa Tengku Adnan tidak mendalangi Umno Cheras supaya mencalonkan beliau sebagai pengerusi badan perhubungan.

"Tindakan Syed Ali adalah sama seperti pemimpin yang syok sendiri," tambah Suhaili.

Syed Ali kelihatan berada di hotel tersebut sebelum sidang akhbar itu bermula. Bagaimanapun beliau tidak menghadirinya.

ADS