Seorang hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menyifatkan hukuman penjara lima bulan sebagai "keterlaluan" terhadap seorang lelaki yang memeluk kekasihnya.
"Tidak ada orang akan keluar bertemu janji dengan kekasihnya dengan hukuman keterlaluan itu.
"Tidak ada lelaki yang ingin mengajak keluar anak dara kita lagi selepas ini.
"Inilah realiti kehidupan," kata hakim Abdul Rahim Uda hari ini ketika menghakimi rayuan penoreh getah Mohamad Roslan Zainol.
Pemuda itu dijatuhkan hukuman tersebut di mahkamah majistret Butterworth pada 3 Disember lalu selepas mengaku bersalah.
Beliau didakwa mendakap erat-erat kekasihnya beberapa kali dan cuba menciumnya ketika mereka berteduh di sebuah pondok sewaktu sedang hujan di pantai Telok Molek, Seberang Prai utara jam 9.30 malam pada 29 November lepas.
Selepas gadis itu bergelut cuba melepaskan diri dan kemudian berjaya lari, saudara lelakinya membawa Mohamad Roslan ke balai polis dan membuat aduan.
Hakim Abdul Rahim berkata hukuman tersebut "tidak mempunyai asas" memandangkan hubungan pasangan kekasih tersebut, lapor laman web The Star Online .
Timbalan pendakwa raya Muna Mohamed Jaafar bersetuju dengan pandangan hakim tersebut tetapi menyatakan Mohamad Roslan djatuhkan hukuman yang setimpal kepadanya dan mereka yang cenderung berkelakuan sedemikian.
Abdul Rahim menolak rayuan Mohamad Roslan atas sabitan kesalahannya, membenarkan rayuan untuk meringankan hukuman terhadapnya.
Peguam tertuduh A. Premanand berkata anak guamnya telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi tindakan tersebut.
Mohamad Roslan kemudian dijatuhkan hukuman denda RM1,500 atau tiga bulan penjara jika gagal membayarnya.