Badan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Wakil Rakyat Selangor (Balkis) dibubarkan, dan wangnya RM9.9 juta dipindahkan, dengan mematuhi semua peraturan, kata bekas yang dipertuanya Zahrah Kechik.
Zahrah, bekas menteri besar Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, berkata badan itu dibubarkan 11 Mac mengikut perlembagaan selepas mesyuarat agung khasnya, lapor Bernama hari ini.
Mengulas kontroversi itu antara kerajaan negeri dengan Balkis, Zahrah berkata sebelum seorang isteri menteri besar dilantik menjadi yang dipertua badan itu, ia hendaklah disahkan oleh satu mesyuarat agung.
"Ini bermakna saya masih memegang jawatan yang dipertua pada ketika itu dan saya juga masih belum meletakkan jawatan yang dipertua.
"Oleh itu tidak timbul saya tidak mempunyai kuasa untuk mempengerusikan mesyuarat agung yang dipanggil untuk tujuan pembubaran Balkis," beliau dipetik sebagai berkata.
Zahrah berkata badan itu dibubarkan dengan sokongan lebih daripada dua pertiga ahli.
Khamis lalu, menteri besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri - kini ditadbir Pakatan Rakyat - menghalang badan itu dibubarkan dan notisnya telah dihantar kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS).
"Kerajaan negeri telah menghantar surat kepada ROS agar tidak meluluskan permohonan pembubaran Balkis sehingga jumlah sumbangan semua anak syarikat kerajaan negeri Selangor dikenal pasti dan siasatan menyeluruh terhadap tindakan Balkis membuat permohonan pembubarkan (kepada ROS pada 13 Mac) serta pemindahan aset-aset Balkis," katanya dalam satu kenyataan.
"Kerajaan negeri dan anak-anak syarikat kerajaan negeri dijangka membuat tuntutan dalam masa terdekat terhadap segala sumbangan yang diberikan memandangkan Balkis bertindak sebagai pemegang amanah kepada kerajaan negeri Selangor untuk tujuan amal kebajikan dan mengambil wang daripada anak-anak syarikat kerajaan negeri."
Selain Zaharah, menurut kenyataan pejabat menteri besar Selangor lagi, pemimpin-pemimpin utama Balkis termasuklah Rahimah Naim sebagai naib yang dipertua, Pon Ishak (setiausaha) dan Surami Sapuan (bendahari).
Exco Balkis dianggotai enam ahli jawatankuasa.