Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Seorang lagi pemimpin Umno mendesak supaya peralihan kuasa perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada timbalannya Datuk Seri Mohd Najib Razak dibuat dalam perhimpunan agung parti itu Disember ini.

"Tidak boleh tangguh-tangguh lagi... masa dah tidak ada," kata ketua bahagian Umno Cheras, Datuk Syed Ali Al Habshee.

"Supaya Najib ambil alih dan ada masa untuk selesaikan masalah dalam Umno. Bukan bila (sudah) nak pilihanraya, baru nak beri kerana masalah Umno banyak. Bukan masalah ini sahaja," katanya dalam sidang media selepas merasmikan mesyuarat khas (EGM) Umno bahagian tersebut yang dihadiri oleh 222 perwakilan hari ini.

Dalam ucapannya, Syed Ali berkata, peralihan kuasa daripada Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Abdullah dibuat awal, sebelum pilihanraya umum 2004.

Syed Ali, yang juga setiausaha agung Kelab Senator Malaysia turut mencadangkan supaya pemilihan jawatan tinggi Umno dibuat oleh ahli di peringkat bahagian dan bukannya oleh perwakilan dalam perhimpunan agung.

"Ini membolehkan ahli menilai dan memilih pemimpin parti Umno kita secara langsung, bukan sebagaimana sekarang ini.

"Bukan dengan adanya sistem kuota kerana sistem kuota itulah yang memberi kekebalan kepada pemimpin-pemimpin atasan," katanya.

Tidak sokong Ku Li

Menurutnya, sesiapa sahaja boleh bertanding jawatan parti termasuk presiden, dengan memperolehi dua pencalonan sahaja.

Syed Ali juga menjelaskan beliau tidak menyokong hasrat bekas menteri kewangan Tengku Razaleigh Hamzah untuk bertanding jawatan presiden Umno.

"Itu hak dia, biarlah dia nak bertanding. Umno parti yang mengamalkan demokrasi," katanya.

Umno bahagian Cheras, kata Syed Ali, meminta pemilihan jawatan tinggi parti termasuk presiden dan timbalan serta majlis tertinggi (MT) dibuat di peringkat bahagian dan bukan dalam perhimpunan agung umno seperti sekarang.

Katanya, cara ini juga boleh menghindarkan berlakunya politik wang sewaktu pemilihan jawatan dalam Umno.

"Supaya pemilihan jawatan-jawatan itu bukan lagi ditentukan oleh oleh G7 (kumpulan tujuh orang perwakilan) dan enam perwakilan lagi."

Bahagian pilih presiden

"Jawatan presiden, timbalan presiden dan MT Umno tidak lagi ditentukan oleh 13 orang sahaja. Biarlah dia dilipih oleh semua perwakilan... kalau Cheras, oleh 222 perwakilan," katanya.

Syed Ali berkata, untuk menguatkan kembali parti, para pemimpin Umno perlu mendengar suara-suara ahli di peringkat akar umbi.

Cara terbaik, katanya, ialah melalui EGM supaya para ahli di cawangan-cawangan boleh bersuara dan memberi kritikan terhadap pemimpin dan juga kepada parti.

"Parti dan pemimpin perlu kembali kepada akar umbi dan jika mengabaikan keperluan itu, saya bimbang Umno tidak lagi menjadi relevan.

"Ketua-ketua bahagian Umno perlu bertanggungjawab dan kena ambil tahu apa yang berlaku di peringkat akar umbi," katanya.

Mengenai EGM bahagian Cheras yang diadakan hari ini, Syed Ali berkata ada pemimpin tertentu yang memandang sinis dan menyindirnya, tetapi beliau tidak ambil peduli.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS