Seorang hakim dilaporkan terlibat memberi nasihat kepada Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri (Bakti) dalam kontroversi penyaluran wang RM9.9 juta dari Badan Kebajikan Isteri-isteri Wakil Rakyat Selangor (Balkis) selepas ia cuba dibubarkan pada 13 Mac.
Perpindahan wang Balkis, yang dipengerusikan oleh isteri bekas menteri besar Datuk Mohamad Khir Toyo, kini dipertikaikan kerajaan Selangor, lapor The Sun di halaman depan hari ini.
Sambil menggesa siasatan dijalankan terhadap hakim tersebut, bekas pegawai khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Datuk Param Cumaraswamy berkata perkembangan itu "luar biasa"
"Jika ia benar-benar terjadi (seperti dilaporkan), hakim itu mesti dipanggil untuk menjelaskan tindakannya itu," katanya, mengulas laporan tentang skandal tersebut.
"Perilaku hakim itu boleh menimbulkan perasaan curiga bahawa beliau membenarkan kepentingan peribadinya bercanggahan dengan tugas kehakimannya yang boleh membawa kesan pelanggaran Kod Etika Hakim 1994."
Akhbar itu melaporkan Bakti menerima wang Balkis, satu persatuan negeri yang bergabung bawahnya, sebanyak itu untuk disalurkan pula kepada sebuah badan lain yang akan ditubuhkan oleh bekas ahli-ahlinya.
Zaharah Kechik, yang memegang jawatan presiden Balkis atas sifatnya isteri menteri besar Selangor itu sebelum pilihanraya umum 8 Mac, dilaporkan cuba membubarkan badan itu dan menubuhkan sebuah badan lain, antaranya mungkin dicadangkan diberi nama "Balkis-BN".
Laporan itu menyebut, Zaharah memanggil mesyuarat tergempar exco Balkis pada 11 Mac untuk tujuan itu, dan keesokannya akaun badan itu ditutup dan wang sebesar itu dipindahkan ke sebuah akaun lain sebelum sampai kepada Bakti.
Dalam satu kenyataan hari ini, Param menambah:
"Pihak berkuasa yang menyiasat percubaan membubarkan Balkis dan memindahkan dananya harus memaklumkan perilaku hakim tersebut kepada ketua hakim negara yang kemudiannya harus mengambil tindakan sewajarnya terhadap hakim tersebut," katanya .