Ketika penubuhan suruhanjaya demi suruhanjaya semakin rancak diumumkan dalam pelan reformasi perdana menteri, dua badan hak asasi menggesa kerajaan menyegerakan pembentukan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang dicadangkan tiga tahun lalu.
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini mengumumkan Suruhanjaya Pelantikan Hakim dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah sebagai simbol pengiktirafannya pada desakan orang ramai seperti tergambar dalam keputusan pilihanraya umum ke-12.
Sambil mengalu-alukan dua badan baru itu, Amnesty International (AI) Malaysia and Suara Rakyat Malaysia (Suaram) mendesak Abdullah membentangkan rang undang-undang IPCMC seperti janjinya pada 25 Mac lalu.
Dua NGO itu juga menggesa kerajaan menarik balik rang undang-undang Suruhanjaya Aduan Khas (SCC), dibentangkan sesi lalu tetapi belum diluluskan, yang turut menjadi satu janji BN dalam manifesto pilihanrayanya baru-baru ini.
"AI Malaysia dan Suaram menegaskan bahawa reformasi, khususnya berkaitan kepolisan itu penting dan tidak wajar dilengah-lengahkan kerana penyalaghunaan kuasa dan amalan rasuah membawa kesan pada hak-hak asasi orang ramai dan menggugat keyakinan mereka pada pasukan itu," kata kedua-duanya dalam satu kenyataan bersama hari ini.
Jurucakapnya K Shan menambah, walaupun Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Pasukan Polis mengemukakan cadangan-cadangan baik seperti dalam Bab 10 laporannya, masih terdapat banyak kes rasuah dan salah laku seperti salah guna kuasa dan pencabulan hak asasi direkod oleh anggota polis.
"Banyak isu dibangkitkan tentang kelembapan dan taraf profesionalisme pasukan polis sewaktu mengendalikan aduan orang ramai," katanya, yang juga penyelaras kempen AI Malaysia.
"Kami percaya reformasi di peringkat institusi yang membolehkan pasukan polis yang profesional dan menghormati serta melindungi hak-hak asasi semua orang dan bertanggungjawab kepada rakyat tidak boleh ditangguh-tangguhkan lagi.
"Perubahan cara fikir ini sangat bergantung pada tekad politik dan sokongan lestari perdana menteri dan anggota kabinetnya.
"Tiba waktunya kerajaan bertindak segera seruan reformasi seperti didengungkan dalam pilihanraya umum lalu dan melaksanakan langkah-langkah reformasi seperti disarankan oleh suruhanjaya diraja pasukan polis."