Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Wakil BN siap sedia sertai Pakatan
Diterbitkan:  Apr 23, 2008 10:21 PM
Dikemaskini: 2:39 PM

Benar, memang ada ahli-ahli parlimen BN di Sabah bersedia menyertai Pakatan Rakyat, dakwa penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Cuma, mereka belum bersedia berbuat demikian kerana belum mengangkat sumpah di Dewan Rakyat, katanya lagi seperti laporan Bernama.

Anwar berkata mereka sedang mengatur masa yang sesuai untuk meninggalkan BN.

"Apa yang menahan mereka ialah pengaturan masa.

"Anggota-anggota parlimen ini belumpun mengangkat sumpah di Parlimen (lagi). Kami bukanlah tergesa-gesa," beliau dpetik sebagai berkata di Kota Kinabalu sewaktu lawatannya di negeri itu.

anwar ibrahim april 14 kg baru event 150408 Beliau juga berkata, jika mereka tidak menyertai bulan depan, mungkin bulan berikutnya, Julai atau malah pada hari sambutan kemerdekaan pada 31 Ogos.

"Tetapi saya fikir kami tidak akan melewati tempoh itu," tambahnya.

Parti Rakyat Malaysia (PRM) hari ini membantah usaha menggerakkan kempen lompat parti wakil-wakil BN seperti yang dijalankan Anwar .

Sambil menyifatkan usaha sedemikian "tidak sah dan tidak beretika", presiden PRM Hassan Abdul Karim menggesa keputusan pilihanraya umum lalu harus dihormati semua pihak.

"PRM berpendapat kerajaan BN perlu diberi peluang untuk mentadbir kerajaan pusat bagi lima tahun lagi dengan aman dan tanpa

diganggu-gugat secara yang tidak demokratik," katanya.

Akhbar Utusan Malaysia melaporkan parti-parti komponen BN di negeri itu menafikan mereka akan melompat parti dan menyertai Pakatan.

Timbalan presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Eric Majimbun (gambar) dilaporkan berkata, desas-desus terdapat wakil parti itu berhasrat melompat parti berkemungkinan besar timbul susulan kelantangan SAPP menyuarakan pandangan kepada pimpinan BN.

Lawatan Anwar di negeri itu dan Sarawak memanaskan lagi cakap-cakap tentang isu lompat parti yang dimulakan daripada kenyataan bekas timbalan perdana menteri itu sejak kemenangan besar PKR dan dua rakannya DAP dan PAS pada 8 Mac.

Tawaran terbuka pengerusi jawatankuasa pemandu PKR Sabah dan Sarawak, Datuk Dr. Jeffrey Kitingan kepada wakil rakyat BN agar menyertai pakatan pembangkang baru-baru ini menghangatkan lagi keadaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS