kemaskini 5:55pm Penulis kolum terkenal, cendekiawan Melayu dan juga bekas pemimpin politik kanan Parti Rakyat Malaysia (PRM) Rustam A Sani meninggal dunia di rumahnya di Gombak awal pagi ini.
Allahyarham, anak kepada pengasas parti itu dan bekas ahli parlimen Ahmad Boestaman, meninggalkan isteri Rohani Zainal Abidin dan dua anak, Azrani dan Ariani, di usia 64 tahun.
Rustam, yang memblog di Suara Rakyat dan Karya Semasa , pernah bertugas sebagai pensyarah di Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS), kumpulan pemikir terkenal negara ini.
Selain menghasilkan buku dan membentangkan fikirannya di pelbagai pertemuan akademik dan bukan ilmiah, beliau giat menulis rencana dan kolum dalam bahasa Inggeris dan Melayu di akhbar-akhbar harian tempatan.
Kolumnya di Utusan Malaysia sebelum krisis politik 10 tahun lalu - peristiwa pemecatan dan pemenjaraan bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim - dikumpulkan dalam buku Menjelang Reformasi (2004).
Rustam, seorang yang mudah didekati dan mesra, dilahirkan dan mendapat pendidikan awal di Tanjong Malim, Perak sebelum menyambung pelajarannya di Universiti Malaya dan akhirnya ke Universiti Yale.
Ahli sains sosial dan pemikir penuh warna-warni ini diberikan amanah sebagai naib presiden PRM sebelum ia bergabung dengan Parti Keadilan Nasional dan melahirkan PKR.
Allahyaraham hanya menunggu tiga hari lagi untuk majlis pelancaran dua buku terbarunya Failed Nation? Concerns of Malaysian Nationalist dan Social Roots of The Malay Left yang akan disempurnakan oleh Anwar di perpustakaan negeri Selangor di Shah Alam pada jam 3 petang Sabtu ini.
Seorang penulis prolifik, Rustam mencurahkan pandangan tentang pelbagai bidang seperti politik, sejarah, budaya, statistik serta sastera, selain menghasilkan terjemahan karya sastera dan bukan sastera.
Antologi puisinya Riak-Riak Kecil (1977) diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, dan beliau pernah dianugerahkan Hadiah Sastera Negara dalam kategori esei dan kritik sastera bagi tahun 1988/89.
Buku-buku karya beliau termasuklah Melayu Baru: Beberapa Persoalan Sosio-Budaya (1992), Politik dan Polemik Bahasa Melayu (1993), Melayu Baru dan Bangsa Malaysia: Tradisi Cendekia dan Krisis Budaya (1993), Ke Mana Nasionalisme Melayu? (2004) dan Bercanda dengan Mahathir (2006).
Jenazah allahyarham disemadikan jam 3 petang di perkuburan Islam di Setapak, Kuala Lumpur - beberapa kilometer dari rumahnya di Jalan Bukit Lela, Gombak.
Menteri besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hadir di Masjid Al-Sharif berdekatan rumah allahyarham untuk upacara menyembahyangkan jenazah.
Selain Anwar, tokoh-tokoh pembangkang yang menziarahi jenazah termasuklah Dr Wan Azizah Wan Ismail, Nurul Izzah Anwar, Dr Syed Husin Ali dan Dr Xavier Jeyakumar (PKR), Datuk Kamaruddin Jaffar, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi dan Salahuddin Ayub (PAS), and Lim Kit Siang, Teng Chang Khim and Fong Kui Lun (DAP).
Turut kelihatan di kediaman Rustam pagi tadi, bekas ketua pengarang kumpulan New Straits Times Datuk A Kadir Jasin, ketua pengarang kumpulan Utusan Melayu Datuk Johan Jaffar dan mantan ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Hassan Ahmad.
>>> Baca artikel terakhirnya Mahathir lagi: Bilakah akan reda?