Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah bertitah bahawa sebarang pandangan prejudis antara kaum di negara ini dapat dihilangkan jika minda masyarakat Melayu berada dalam keadaan stabil dan selesa, seterusnya hubungan harmoni akan terjalin.
Baginda bertitah kestabilan minda masyarakat Melayu amat penting dan ia adalah satu prasyarat kepada kestabilan negara.
"Agama Islam, kedaulatan Raja-raja Melayu, bahasa Melayu dan kedudukan istimewa orang Melayu antara perkara yang tidak pernah lepas daripada perhatian Raja-raja Melayu.
"Raja-raja Melayu amat memahami bahawa kestabilan politik negara sangat bergantung kepada persediaan minda orang-orang Melayu menghadapi perubahan," titah baginda ketika menyampaikan titah sembah setia sempena sambutan Hari Keputeraan ke-80 Sultan Perak Sultan Azlan Shah di Istana Iskandariah di Kuala Kangsar hari ini.
Turut berangkat di majlis tersebut ialah Raja Pemaisuri Perak Tuanku Bainun, Raja Di Hilir Perak Raja Jaffar Raja Muda Musa, Raja Puan Muda Raja Normahani Raja Shahar Shah, kerabat diraja Perak, menteri besar Mohammad Nizar Jamaluddin, barisan exco kerajaan negeri, ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan.
Menurut laporan Bernama , Raja Dr Nazrin bertitah, sejak Durbar pertama yang berlangsung di Kuala Kangsar pada 13 Julai 1897, Raja-raja Melayu terbukti sentiasa memberi perhatian dan menyuarakan kepentingan orang Melayu dan agama Islam.
Oleh itu titah baginda, dengan perkenan Sultan Perak, baginda akan berusaha dan merintis langkah ke arah memastikan pemikiran serta persepsi orang-orang Melayu tidak akan membawa mereka berada dalam kegelisahan dan ketidakstabilan.
Keyakinan terhadap Raja
Baginda bertitah Raja menjadi pilihan rakyat untuk bernaung ketika merasakan kedudukan diri mereka sebagai pribumi bagaikan tergugat dan ia merupakan satu penghormatan serta keyakinan terhadap Raja ketika rakyat cemas menghadapi krisis.
Raja Dr Nazrin mahu seluruh rakyat menerima realiti bahawa Malaysia mempunyai pelbagai kaum dan usaha memupuk perpaduan dan usaha mengikis sebarang prasanga negatif antara kaum menjadi agenda penting serta satu prasyarat kepada kestabilan politik di samping menjadi keperluan untuk jaminan ketenteraman awam.
"Bumi Malaysia haruslah mengamalkan satu kesaksamaan yang tidak membenarkan berlaku diskriminasi atau tindakan negatif berunsur perkauman. Semangat berpijak di bumi sama, dan menjunjung langit yang sama perlu dipupuk dan dihayati supaya terbina kekuatan warga yang teguh berpadu, cekal bersatu lalu sama-sama dapat membangunkan sebuah negara merdeka yang kekal berdaulat," titah baginda.
Selain itu Raja Dr Nazrin bertitah baginda akan memastikan bahawa institusi agama yang berada bawah bidang kuasa Sultan Perak seperti masjid, surau dan institusi pendidikan Islam akan dijadikan alat penyatuan dan tidak dibenarkan menjadi pentas politik yang boleh membawa perpecahan.
Baginda bertitah masyarakat Islam akan rugi jika terus bertelagah dan berselisih hingga akhirnya "yang menang menjadi arang dan yang kalah menjadi abu" kerana Islam menyeru kepada perpaduan dan amat menekan aspek perdamaian serta mengajak umat untuk membina semangat ukhuwah di samping menjalinkan silaturrahim.
"Umat Islam hari ini bukan umat yang kuat, baik di dunia begitu juga di negara ini. Umat Islam tidak boleh berpecah kepada kumpulan-kumpulan kecil hingga akhirnya menjadi umat yang lebih lemah. Umat Islam jangan terlalu taksub berselisih hingga ke peringkat 'berkerat rotan, berpatah arang'. Umat Islam haruslah arif lagi bijaksana memastikan antara permata dan kaca," titah baginda.
Raja Dr Nazrin bertitah umat Islam perlu berpegang kepada 'semangat kiambang yang akan kembali bertaut sebaik biduk berlalu' kerana mampu menjadi tenaga yang kuat jika mengamalkan semangat bermaaf-maafan, memberi dan menerima, semangat musyawarah dan persaudaraan yang akan membawa penemuan kata sepakat.
Kuasa memerintah
Menteri besar dalam ucapan persembahan tahniah dan setianya, berkata kerajaan negeri sedang merangka pelan strategik yang berteraskan prinsip-prinsip amanah, adil, telus dan berkebajikan di samping meneruskan agenda pembangunan yang telah dirancang oleh kerajaan terdahulu.
"Keutamaan yang akan patik dan kerajaan lakukan hari ini ialah program-program yang memberi kebajikan dan kesejahteraan rakyat... kerajaan negeri berazam meneruskan dan memperkukuhkan dasar pembangunan negeri berpaksikan prinsip dan nilai sejagat," kata Mohammad Nizar yang mengangkat sumpah jawatannya pada 17 Mac.
Sebuah kerajaan yang diberi kuasa memerintah dan mentadbir negeri serta rakyatnya adalah amanah besar daripada Allah s.w.t, katanya.
"Menyedari hakikat... maka sayugialah kerajaan itu melaksanakan tanggungjawab selari dengan ketetapan Allah S.W.T. yakni menegakkan yang makruf dan mencegah kemungkaran serta menjadi 'negara berkebajikan dan mendapat keampunan'," katanya.
Mohammad Nizar juga berkata kerajaan negeri akan sentiasa memelihara dan meningkatkan kestabilan sosio-ekonomi dan politik, kedaulatan institusi Raja, adat istiadat dan juga agama.
"Kerajaan negeri di bawah bimbingan patik sangat mengharapkan bimbingan dan teguran Paduka Seri Tuanku yang adil lagi bijaksana agar pemerintahan hari ini akan lebih maju, aman, makmur, amanah dan berkebajikan... insya Allah kerajaan yang ada sekarang tidak akan mensia-siakan hasrat rakyat Perak yang telah membuat perubahan.
"Patik akan sentiasa mendukung institusi Raja Berperlembagaan di negeri ini yang sentiasa merupakan sebahagian sejarah dan sistem berkerajaan di bumi Melayu.
"Patik akur dan menyedari bahawa institusi Raja Berpelembagaan akan kekal relevan dan memenuhi peranan besar pada sepanjang masa seiring dengan undang-undang tubuh negeri yang menyatakan bahawa kuasa pemerintah negeri hendaklah terletak hak kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku," katanya.