Jika tiada perubahan segera kepemimpinan Umno dan negara, peluang BN dipulihkan semakin sukar, apatah lagi dengan strategi Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengambil jawatan utama itu, kata seorang ahli Majlis Tertinggi Umno.
"Dengan Pak Lah masih menjadi pemimpin nombor satu, mood di kalangan ahli Umno dan BN akan berada di tahap amat rendah dan amat sukar untuk BN menang," kata Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo hari ini, meramalkan satu pilihanraya kecil akan berlaku tahun ini bagi membolehkan Anwar ke parlimen.
"Keputusan hampir pasti akan menyebelahi PKR.
"Apabila ini berlaku, kemenangan Anwar bukan sahaja menghancurkan keyakinan rakyat, terutama ahli Umno, kepada Pak Lah tetapi juga kepada Datuk Seri Najib (Razak). Umno hampir pasti hancur jika ini berlaku."
Menulis di blognya tengah hari ini, bekas menteri besar Selangor itu menambah, "atas kebimbangan inilah, saya merayu Pak Lah memikirkan semula exit plan (pelan berundur) yang terbaik dan ia tidak boleh dilengahkan.
"Jika proses peralihan kuasa ini dilakukan segera, ia akan memberi ruang dan masa untuk Datuk Seri Najib melakukan sesuatu yang drastik, menyusun semula kabinet dan melakukan pembaharuan dalam parti."
Dr Mohamad Khir berkata jika kuasa diserahkan segera kepada timbalan Abdullah, "rancangan Anwar untuk bertanding dalam pilihanraya kecil pasti tergendala" dengan alasan sokongan ahli dan rakyat akan berubah kepada BN sebagai dukungan kepada kepemimpinan Najib.
Beliau percaya ahli-ahli parlimen pembangkang tidak akan melancarkan usul undi tidak percaya di sidang Dewan Rakyat hujung bulan ini kerana, bukan sahaja jumlahnya 82 orang itu kecil, tetapi langkah sedemikian tidak menguntungkan Anwar.
"Jika ia (usul tidak percaya) dibuat, pasti jalan Anwar untuk kembali ke puncak akan lebih sukar kerana saya pasti Datuk Seri Najib (selepas menggantikan Abdullah) akan melakukan perubahan yang agresif dalam kerajaan dan parti untuk mengekang Anwar dan sekutunya," kata bekas ketua badan perhubungan Umno Selangor itu, mengulas kesediaan Abdullah untuk mempertahankan jawatan presiden pada pemilihan Umno 16-20 Disember.
"Pada hemat saya, Anwar lebih senang melihat Pak Lah terus kekal - ini akan mewujudkan kedudukan Umno yang lemah dan sokongan parti komponen juga agak kurang.
"Akhirnya BN akan kalah teruk dalam pilihanraya (ke-13) akan datang. Pakatan Rakyat akan membentuk kerajaan baru."
Selain senario itu, Dr Mohamad Khir meramalkan satu pilihanraya kecil akan diadakan menjelang sidang kedua Dewan Rakyat - selepas sidang pertama yang bermula 28 April - bagi membuka laluan kepada Anwar ke Parlimen.
"(Senario) ini yang amat saya bimbangi dan saya yakin (ia) akan berlaku, lebih-lebih lagi memikirkan kemungkinan pilihanraya kecil ini diadakan hampir dengan persidangan agung Umno (Disember) tahun ini. Saya tidak dapat membayangkan apa yang akan berlaku kepada Umno," katanya.
Dengan kemenangan itu, tambahnya, Anwar mendapat sokongan moral di dalam dan luar negara dan seterusnya menyusun langkah membawa usul undi tidak percaya terhadap Abdullah dalam sidang kedua Dewan Rakyat.
"Ketika itu, sama ada beliau telah 'membeli' wakil BN atau tidak bukan lagi persoalan. Krisis keyakinan terhadap kepimpinan Pak Lah ketika itu amat dahsyat dan boleh dikatakan tiada keyakinan langsung," tulisnya lagi di www.drkhir.blogspot.com.
"Jadi undi tidak percaya kepada Pak Lah bukan proses membeli undi tetapi kerana krisis keyakinan kepada kedua-dua kepimpinan negara iaitu Pak Lah dan Datuk Seri Najib (dianggap kalah sewaktu mengetuai BN dalam pilihanraya kecil yang disertai Anwar)."
Anggota MT itu menambah, beliau yakin Anwar tidak akan ke Parlimen sebagai ketua pembangkang kerana bekas timbalan perdana menteri itu bimbang "banyak cerita lama beliau akan ditimbulkan semula dan pasti akan melukakan hati anak dan isteri beliau."
Isteri Anwar, presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail dan anak mereka Nurul Izzah masing-masing menang di kerusi Permatang Pauh dan Lembah Pantai pada pilihanraya umum 8 Mac.
"Melihat karektor Anwar sejak dahulu, beliau tidak akan membiarkan perkara ini berulang dalam hidupnya. Anwar akan hanya masuk semula ke Parlimen sebagai perdana menteri," kata Dr Mohamad Khir.
"Itu adalah prasyarat utamanya. Walau apa pun kos dan keadaan itu soal kedua, yang penting ingin jadi perdana menteri."