Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Akhbar 'suara rakyat' diharamkan
Diterbitkan:  Apr 16, 2008 4:48 PM
Dikemaskini: 7:23 PM

Kementerian Dalam Negeri mengharamkan akhbar popular Makkal Osai selepas memberikan liputan muka depan perhimpunan penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim kelmarin.

Hari ini (foto bawah) , akhbar berbahasa Tamil tersebut turut memuatkan liputan siasatan polis terhadap presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail dan dua lagi pemimpin kanannya susulan perhimpunan itu.

makkal ossai anwar ibrahim black 14 160408 Sebelum ini ia memuatkan artikel-artikel panjang tentang parti itu, termasuk bekas timbalan perdana menteri itu, dan gerakan pembangkang.

Akhbar harian berpengaruh itu menghadapi masalah memperbaharui permit sejak Oktober tahun lepas.

Ia bagaimanapun terus beroperasi dengan harapan permit penerbitan tahunannya akan diperbaharui selepas pilihanraya umum 8 Mac, seperti nasib sebuah harian berbahasa Cina, Oriental Daily .

Pengurus besar Makkal Osai S M Periasamy mengesahkan kementerian telah mengeluarkan surat hari ini yang menyebut permohonannya "tidak akan dipertimbangkan."

Surat itu tidak menyatakan sebarang sebab pengharaman tersebut.

Pemilik akhbar itu - yang dikaitkan dengan bekas pemimpin kanan MIC Datuk S Subramaniam - telah memohon permit baru sejak Julai, kira-kira tiga bulan sebelum tarikhnya tamat.

Sementara itu Oriental Daily masih tidak diperbaharui sejak permitnya tamat Disember lalu. Ia beroperasi sepanjang pilihanraya umum lalu dengan garis panduan khas dengan harapan lesen itu diperbaharui.

Difahamkan akhbar Cina itu tidak mempunyai halangan untuk mendapat sambungan permit walaupun setakat ini tiada surat rasmi dikeluarkan.

Akhbar Tamil itu memberikan liputan meluas pada Makkal Sakthi (kuasa rakyat) selepas demonstrasi besar 25 November yang digerakkan Barisan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf).

uthayakumar new look taiping hospital 090408 Sumber-sumber dalam syarikat media itu memberitahu, Kementerian Dalam Negeri juga tidak senang dengan penyiaran muka depan foto tokoh Hindraf dan peguam P Uthayakumar - kini ditahan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di kem Kamunting, Taiping - di hospital daerah itu minggu lepas.

Harian terbaru itu, diterbitkan mulai 2005, menyertai dua lagi akhbar untuk etnik India, Tamil Nesan dan Malaysia Nanban .

"Kami akan memohon rayuan esok," kata Periasamy.

Makkal Osai

, yang berpejabat di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, menggajikan kira-kira 100 kakitangan.

Nasib mereka belum jelas akibat pengharaman ini.

Makkal Osai atau "suara rakyat" - diterbitkan sebagai tabloid mingguan sejak 1990 selepas Tamil Osai tidak lagi beroperasi - diedarkan sebanyak 52,000 naskhah sehari.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS