Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sejuta risalah jelas kontroversi babi
Diterbitkan:  Apr 16, 2008 3:31 PM
Dikemaskini: 8:48 AM

Sejuta risalah akan diedarkan di Selangor, dan beberapa negeri lain, bagi menjelaskan kontroversi projek ladang babi di negeri itu yang dianggap membawa kesan negatif kepada imej pembangkang.

Wakil-wakil rakyat bawah kerajaan negeri Pakatan Rakyat itu beranggapan liputan media baru-baru ini perlu dijawab dengan berkesan, satu sumber PKR memberitahu Malaysiakini .

Cadangan menerbitkan risalah tersebut diputuskan dalam pertemuan wakil-wakil rakyat parti itu hujung minggu lalu.

Risalah itu kini masih di peringkat draf dan akan dimuktamadkan tidak lama lagi.

selangor pig farm Malaysiakini difahamkan mesyuarat exco kerajaan negeri akan memutuskan kandungan dan jumlah sebenar risalah yang bakal dicetak dan diedarkan.

Bagaimanapun, mesyuarat kerajaan negeri dibatalkan hari ini susulan siasatan polis terhadap menteri besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berhubung perhimpunan 'Black 14' kelmarin di Kuala Lumpur.

Menurut sumber lagi, maklumat yang akan dimuatkan termasuklah yang diperolehi daripada Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) seperti keperluan daging haiwan itu di Selangor dan analisis kewangan projek tersebut.

"Kalau kita tengok analisis kewangan itu, memang jelas tiada wang kerajaan negeri dikeluarkan untuk projek itu," kata sumber itu, yang juga seorang wakil rakyat.

"Ia melibatkan usahasama dengan penternak sendiri, mungkin dalam bentuk koperasi," tambahnya.

Sebahagian maklumat itu telah dibentangkan kepada wakil-wakil rakyat Pakatan dari negeri itu dan Kuala Lumpur semalam, tambahnya.

dr karim mansor german pig farm visit 150408 Foto seorang wakil rakyat Umno, Datuk Karim Mansor, sewaktu melawat sebuah ladang ternakan akan turut dimuatkan dalam risalah tersebut.

Foto itu, yang menunjukkan beliau mengangkat ibu jari dengan maksud "bagus", telah diedarkan kepada media selepas taklimat wakil rakyat semalam.

Karim menafikan membantah projek tersebut, dan juga menyatakan beliau terlibat untuk memodenkan ladang penternakan sejak 2002.

Risalah itu, kata sumber lagi, turut menjelaskan projek itu dijalankan di kawasan berpenduduk Cina dan bukan kawasan Melayu seperti dilaporkan.

Risalah ini kemungkinan besar dicetak dan diedarkan oleh kerajaan Selangor.

"Jika tidak mencukui, PKR juga berminat menerbitkan sendiri (risalah itu) dan kita mahu mengadakan kempen penerangan di negeri-negeri lain sebab liputan media baru-baru ini melibatkan seluruh Malaysia," katanya.

Namun, tambahnya, tumpuan kempen itu di Selangor.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS