Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pihak polis akhirnya berlembut dan bersetuju mengambil kenyataan menteri besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim di pejabat rasminya berhubung siasatan perhimpunan ‘Black 14' di Kampung Baru kelmarin.

Anggota polis tiba di pejabat Khalid pada kira-kira jam 1 tengahari dan selesai mengambil kenyataannya dalam masa 20 minit.

Bagaimanapun, mereka masih berkeras meminta tiga lagi pemimpin PKR - termasuk presidennya Dr Wan Azizah Wan Ismail dan naib presiden Azmin Ali - memberi kenyataan mereka di ibu pejabat polis Selangor di Shah Alam.

Pagi ini polis menolak pelawaan parti itu untuk ke pejabat menteri besar Selangor di Shah Alam untuk mengambil kenyataan pemimpin parti tersebut.

anwar ibrahim april 14 kg baru event 150408 Bagaimanapun selepas perbincangan dengan peguam PKR, pihak polis setuju untuk mengambil kenyataan menteri besar di pejabatnya, manakala tiga yang lain dikehendaki berbuat demikian di ibu pejabat polis negeri.

Difahamkan Khalid, yang sebelumnya telah membatalkan mesyuarat mingguan exco kerajaan negeri pagi tadi, dan menemani tiga pemimpin PKR itu untuk memberi kenyataan di ibu pejabat polis negeri.

Semalam, polis ke rumah Wan Azizah, Khalid, Azmin dan Yahya Sahri, pembantu Khalid, untuk mengadakan siasatan berhubung perhimpunan tersebut.

Polis mendakwa perhimpunan di Kelab Sultan Sulaiman itu - sempena pembebasan penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada larangan berpolitik - haram dan diadakan tanpa permit polis.

Berbincang dengan peguam

Polis mengarahkan semua mereka hadir di balai polis Dang Wangi pada jam 3 petang semalam tetapi mereka enggan berbuat demikian sehinggalah polis menunjukkan salinan laporan yang dikatakan dibuat berhubung perhimpunan tersebut.

Mereka, termasuk Wan Azizah, memaklumkan bahawa jadual tugasan mereka semalam sudah penuh dan tidak dapat hadir di balai tersebut.

Ekoran itu, lewat malam tadi, media dimaklumkan bahawa pemimpin PKR tersebut akan berjumpa pihak polis di pejabat Khalid di bangunan kerajaan negeri di Shah Alam pagi ini.

Mereka, termasuk media, menunggu ketibaan polis sejak awal pagi ini tetapi kemudian diberitahu polis enggan datang ke pejabat kerajaan negeri.

Setiausaha politik Khalid, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, polis telah menghantar faksimili untuk memaklumkan perkara tersebut pagi ini.

"Sebaliknya, mereka mahu kita ke ibu pejabat polis Selangor di Shah Alam.

"Kita sedang berbincang langkah selanjutnya, dengan para peguam kami," katanya kepada Malaysiakini pagi tadi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS