Sekumpulan pelajar merayu kepada menteri pengajian tinggi agar meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dengan telus dan "tidak lagi menipu siswa dan rakyat."
Gerakan Demokratik Belia dan Pelajar Malaysia (Dema) berkata menterinya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin "bercadang membentangkan pindaan pada hujung tahun ini."
"Jika menteri pengajian tinggi benar-benar jujur untuk meminda AUKU, kementeriannya harus telus mengumumkan keputusan tentang pindaan itu, supaya orang ramai boleh mendapat maklumat, danbenarkan mereka memberikan saranan dan menyertai proses pindaan akta tersebut," kata jurucakapnya Ong Jing Cheng.
Dalam satu kenyataannya semalam, Dema berkata sudah ramai pemimpin kerajaan sebelum ini menyatakan kesediaan untuk berbuat demikian tetapi akhirnya akta itu tidak mengalami sebarang pindaan.
Pemimpin-pemimpin kerajaan itu, tambah Ong, termasuklah perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan mantan timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"(Semua kenyataan ini) menyebabkan mahasiswa dan orang ramai bimbang kecekapan kerajaan BN," kata Ong. "Dema mempertikaikan ketulusan kementerian dan meragui akan ada tindakan selepas ini."
Dema juga menyenaraikan beberapa lagi menteri yang "berjanji" untuk meminda AUKU tetapi tidak mengambil tindakan konkrit.
Pada Januari 1994, menteri pendidikan Tan Sri Dr Sulaiman Daud menyatakan kesediaannya untuk meminda akta itu dan mengumumkan penubuhan sebuah jawatankuasa semakan.
Menteri pengajian tinggi penggal lalu Datuk Seri Mustapa Mohamad menangguh-nangguhkan rang pindaan AUKU dalam beberapa sesi sidang Dewan Rakyat selepas mengambil alih jawatan itu pada 2006.
"Sehingga pilihanraya umum ke-12, tiada keputusan konkrit tentang perkara ini," kata Ong.