Bekas ketua pemuda Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik bersedia memimpin semula pergerakan itu jika anggota-anggotanya bersedia menerima beliau.
Beliau yang menang jawatan itu pada 1993 tidak sempat memimpin pergerakan itu susulan dakwaan skandal dengan gadis bawah umur dan jawatan itu kemudian dipangku oleh Datuk Seri Nazri Aziz, kini menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Selain menganggotai Majlis Tertinggi (MT) Umno, bekas ketua menteri Melaka itu kini pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem).
"Seorang ketua Pemuda haruslah tidak mempunyai jawatan dalam kabinet untuk membolehkan mereka menegur pemimpin-pemimpin parti komponen BN," katanya kepada Malaysiakini sebelum menyertai pertemuan Gabem di bangunan PWTC petang ini.
"Banyak pemimpin yang berkaliber, tetapi ahli perlu memilih yang terbaik supaya pergerakan Pemuda Umno menjadi yang terbaik," tambahnya.
Rahim, 56, menegasakan bahawa pemilihan ketua pemuda Umno tidak perlu terikat dengan umur.
Rahim berkata, ketua pemuda seharusnya tidak menjadi ahli kabinet bagi memudahkan menegur pemimpin Umno dan BN.
"Pemuda perlu menjadi pemantau dan penegur kepada parti dan kerajaan," katanya.
Sebelum ini, anak bekas perdana menteri, Datuk Mukhriz Mahathir dan bekas menteri besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo menyatakan kesediaan untuk bertanding jawatan ketua pemuda Umno dalam pemilihan kali ini.
Ketua Pemuda sekarang, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein telah menyatakan beliau tidak akan mempertahankan jawatan tersebut.