Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mahathir: DAP-Abdullah pakat ke?
Diterbitkan:  Apr 11, 2008 11:26 AM
Dikemaskini: 8:27 PM

kemaskini 11:43pm Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mendakwa berjaya menyelesaikan "teka-teki politik" yang menghantui pemikirannya - kenapa tokoh-tokoh utama DAP tidak menyerang bersungguh-sungguh kepemimpinan perdana menteri.

Dalam suratnya kepada The Star , mantan perdana menteri itu berkata beliau mengucapkan terima kasih kepada pengerusi DAP Karpal Singh kerana "menyelesaikan satu misteri yang mengganggu fikiran saya sepanjang lima tahun lepas."

Selepas membuka kenyataannya dengan perenggan tersebut, Dr Mahathir berkata beliau sudah masak dengan kritikan, malah serangan, anggota-anggota DAP termasuk "isu-isu penyelewengan yang dikhayalkan oleh mereka."

mahathir malaysiakini interview 070207 "Bagaimanapun, selepas Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih jawatan saya, salah guna kuasa dan kesalahan terang-terangan pihak kerajaan jarang sekali diulas oleh tokoh-tokoh DAP seperti Karpal dan Lim Kit Siang," katanya dalam surat 'A Political Mystery is Finally Soved'.

"Saya bingung. Saya tidak percaya kepada cadangan bahawa wujud 'pakatan' (konspirasi) antara Abdullah dan DAP."

Dr Mahathir menjawab kecaman Karpal terhadapnya dalam kenyataan kelmarin.

Karpal berkata pakatan pembangkang tidak memerlukan tokoh seperti Dr Mahathir untuk menjuarai perjuangan mereka.

"Dr Mahathir sewajarnya berhenti berperanan sebagai jurubicara tidak tentu hala," katanya, dipercayai mengulas surat mantan perdana menteri itu di akhbar The Sun pada 8 April.

"Tiba masanya beliau berdiam diri dan biarkan barisan pembangkang mengawasi kerajaan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi," kata Karpal.

"Dr Mahathir sewajarnya, mungkin, menghabiskan masanya bersama cucu-cucunya di ambang senja usianya," kata Karpal lagi.

Reaksi sinis ahli parlimen itu juga dipercayai selepas membaca surat Dr Mahathir kepadanya bertarikh 3 April - tetapi hanya diterimanya kelmarin.

karpal singh parliament 150605 Dalam warkah peribadinya itu kepada Karpal, Dr Mahathir menggelarkan peguam terkenal itu "the most contemptible of politicians and individuals" (individu dan ahli politik yang paling hina).

"Anda dan penentang saya tidak pernah mahu percaya walau apa pun penjelasan saya. Anda didorong oleh kebencian semata-mata dan saya tidak boleh menjawab kepada mereka yang enggan menerima kenyataan.

"Saya menjalankan tugas dalam bidang dan tanggungjawab saya, dan saya tidak terhutang untuk memohon maaf kepada sesiapa," tulis Dr Mahathir.

Dalam kenyataan balasnya hari ini, Karpal menepis semula tuduhan Dr Mahathir itu dengan berkata beliau dan Lim sering mengkritik penyelewengan era Abdullah.

"Tidak timbul persoalan DAP, atau Pakatan Rakyat, berkonspirasi (dengan Abdullah) seperti disangka Dr Mahathir. Tidak ada gunanya bergelut secara semantik perkataan 'Pakatan' membawa maksud 'konspirator' (sic)," katanya.

Dalam surat di halaman 57 The Star , Dr Mahathir cuba memberikan analisisnya tentang persoalan mengapa DAP "kelihatan senang" Abdullah terus menjadi perdana menteri.

"Sebagai pembangkang, DAP tentu sedar masyarakat Cina umumnya tidak suka kerajaan pimpinan Datuk Seri Abdullah. Mereka secara terbuka menyuarakan rasa tidak senang dan niat mereka untuk tidak memangkah BN dalam pilihanraya umum 2008.

"Cara salah menangani (bantahan) Barisan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf) oleh Datuk Seri Abdullah menjarakkan pula kaum India (daripada BN).

abdullah ahmad badawi and barisan nasional bn manifesto election 2008 "Tentunya, parti-parti pembangkang lain menyedari Melayu, termasuk ahli Umno, sangat kritikal terhadap Datuk Seri Abdullah.

"Jelas sekali, DAP dan parti-parti pembangkang mendapat banyak keuntungan apabila semakin hilang keyakinan penyokong BN terhadap kepemimpinan Datuk Seri Abdullah.

"Dan memang pastilah, mereka telah berbondong-bondong meninggalkan BN dalam pilihanraya umum 8 Mac. Mereka yang tidak sanggup mengundi pembangkang pula sengaja merosakkan undi mereka. (Keadaan) ini menjelaskan kewujudan 300,000 undi rosak yang tidak pernah berlaku dalam sejaran pada pilihanraya kali ini.

"Sewaktu Karpal menggesa saya menahan diri daripada terus mengkritik perdana menteri kini, ia tentulah kerana beliau menyedari PM ini akan terus menjauhkan kerajaan daripada penyokong BN.

"Pada pilihanraya umum akan datang, mereka (pengundi) akan menjadi lebih meluat terhadap PM dan mereka akan menyebabkan BN hilang majoritinya di Parlimen dan maka gagallah membentuk kerajaan Persekutuan.

"Dengan perkataan lain, 'Pakatan' (atau dalam bahasa Inggeris bermaksud golongan yang berkonspirasi) Rakyat akan mencapai kemenangan secara tidak langsung dan menubuhkan kerajaan Persekutuan."


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS