Polis tidak akan berputus asa untuk mencari Sharlinie Mohd Nashar yang hilang pada 9 Januari lepas walaupun "memakan masa 20 tahun lagi", kata pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Bakri Zinin.
"Selagi kes yang disiasat tidak ditutup atau pesalah (tidak) dikenal pasti, polis terus melakukan siasatan dan mempunyai pendekatan tertentu dalam usaha memastikan mereka yang bertanggungjawab diheret ke muka pengadilan," katanya, lapor Bernama .
Kehilangan Sharlinie, mangsa penculikan kedua selepas Nurin Jazlin Jazimin, mendorong pencarian besar-besaran sehingga kehangatan kempen pilihanraya umum memperlahankan isu tersebut.
Semua parti, termasuk pembangkang, menjadikan kempen mencari Sharlinie sebagai sebahagian projek kebajikan dan sosial mereka.
Nurin Jazlin, 8, ditemui mati selepas sebulan hilang dekat rumahnya di Wangsa Maju, Kuala Lumpur.
Sharlinie dilapor hilang ketika berada di taman permainan Kampung Medan, Petaling Jaya - kira-kira 200 meter dari rumah mereka.