Pemuda Umno Negeri Sembilan beranggapan bahawa pergerakan itu akan rugi jika Khairy Jamaluddin tidak dipilih sebagai ketua Pemuda Umno yang baru.
Ketuanya Datuk Jamlus Aziz berkata, calon paling layak untuk mengisi jawatan yang dikosongkan oleh Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ialah naib ketuanya - Khairy.
Katanya, mengikut proses hirarki parti, Khairy sebagai pemimpin nombor dua dalam pergerakan tersebut dan apabila Hishammuddin tidak mempertahankan jawatannya, maka menantu perdana menteri itu menjadi calon paling layak menggantikan ketuanya.
"Kita akan rugi jika kita tidak memilih Khairy sebagai ketua Pemuda Umno kerana kita telah gilap beliau untuk memimpin Pemuda Umno selama ini.
"Selain taat setianya kepada parti, Khairy diakui mempunyai kebolehan dan berkemampuan.
"Ini terbukti kerana beliau banyak membantu Hishammuddin dan aktif dalam Pemuda Umno serta pengorbanannya, terutama dalam tiga pilihanraya kecil tahun lepas di mana Barisan Nasional (BN) mencapai kemenangan yang begitu menyerlah sekali," katanya.
Dua lagi calon
Khairy, yang juga ahli parlimen Rembau, adalah ketua Pemuda bahagian tersebut.
Bernama memetik Jamlus sebagai berkata walaupun terpaksa menerima banyak kritikan pelbagai pihak, namun Khairy diakui mempunyai pengalaman luas sebagai pemimpin.
"Saya akan meminta Khairy supaya menawarkan diri untuk bertanding jawatan itu. Saya juga akan meminta Pemuda Umno negeri lain supaya memberikan sokongan kepada Khairy," katanya.
Jumaat lalu, Khairy berkata, beliau menyerahkan kepada ahli akar umbi untuk menentukan sama ada beliau bertanding jawatan ketua pergerakan itu.
Setakat ini xxco Pemuda Datuk Mukhriz Mahathir dan bekas menteri besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo bersedia dicalonkan bertanding jawatan tersebut.
Pemilihan agung Umno dijadual diadakan pada 16-20 Disember.