Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Himpunan khas sambut Anwar Isnin ini
Diterbitkan:  Apr 8, 2008 1:40 PM
Dikemaskini: 7:04 PM

Perhimpunan sempena 'Black 14' dan pidato perdana Datuk Seri Anwar Ibrahim akan diadakan di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru di ibu negara minggu depan.

'Black 14, atau pernah disebut 'Gelita 14', disambut setiap tahun sebelum ini bersempena tarikh Anwar dijatuhkan hukuman bagi kes pertama pada 1999.

anwar ibrahim Sambutan ini pada tahun-tahun awal 2000-an biasanya bersifat demonstrasi besar-besaran di Kuala Lumpur anjuran aktivis Gerakan Reformasi dan penyokong PKR.

Perhimpunan "Menghitung Masa dari Black 14 ke Arah Kemenangan Rakyat" kali ini berbeza, khususnya selepas kejayaan besar PKR dan Pakatan Rakyat - ia disambut bagi menandakan berakhirnya larangan aktif berpolitik selama lima tahun yang dikenakan terhadap Anwar.

Larangan itu dikenakan selepas beliau disabitkan hukuman terhadap tuduhan salah guna kuasa sewaktu menjadi timbalan perdana menteri pada tanggal itu tahun 1999.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PKR, Badrul Hisham Shaharin, dalam blognya menulis, 'Black 14' dikenang setiap tahun sebagai peristiwa hitam negara.

bersih rally 271207 03 "Tetapi 14 April 2008 bakal disambut dengan berbeza sekali kerana 14 April 2008 bukan lagi gelita. Ia sudah mula diterangi cahaya.

"Tanggal 15 April, udara di Malaysia akan berbeza kerana wira rakyat Anwar Ibrahim bakal melangkah masuk ke arus perdana politik negara secara sah.

"Seluruh rakyat dijemput untuk bersama dalam perhimpunan khas countdown rakyat di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru pada jam 8.45 malam 14 April depan," katanya.

Anwar akan menyampaikan ucapan sulung selepas pilihanraya umum 8 Mac, selain ucapan barisan pemimpin utama Pakatan Rakyat sebagai mengimbau pergerakan politik baru susulan insiden pemecatan beliau daripada barisan kabinet dan anggota Umno pada September 1998.

Insiden itu, yang diingati siri-siri demonstrasi besar selama beberap tahun, menyaksikan kelahiran PKR selepas Parti Keadilan Nasional (Keadilan), yang ditubuhkan 10 hari sebelum Anwar dijatuhkan hukum kes pertama, bergabung dengan parti bersejarah Parti Rakyat Malaysia (PRM).

Tayangan video khas 'Dari Black14 ke Arah Kemenangan Rakyat' dan pameran khas juga akan diadakan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS