Badan Pencegah Rasuah (BPR) boleh menjalankan siasatan terhadap sesiapa sahaja, termasuk bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad jika ada bukti terhadap tuduhan itu.
"Takkan nak tutup mata jika ada bukti," kata perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam sidang akhbar selepas menghadiri perjumpaan dengan ketua-ketua penerangan Umno bahagian di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibu negara hari ini.
Beliau, yang juga presiden Umno, diminta mengulas desakan para aktivis dan pemimpin pembangkang supaya Dr Mahathir didakwa di mahkamah atas dakwaan menyalahgunakan kuasa sepanjang 22 tahun pentadbirannya.
Mereka yang membuat desakan tersebut antaranya bekas pelapor khas mengenai kebebasan kehakiman Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Datuk Param Cumaraswary, tokoh utama DAP Lim Kit Siang dan pengerusi Gerakan Rakyat Anti Korupsi (GERAK) Mohamad Ezam Mohd Nor.
Menyalahgunakan kuasa adalah satu perbuatan jenayah yang membawa hukuman 14 tahun penjara.
"Bagi pihak kerajaan, dasar kita ialah kalau ada apa-apa tuduhan terhadap sesiapa pun, kalau ada bukti, tak kan kita nak pejam mata...," kata Abdullah.
Terserah pada BPR
"Perkara itu perlu dipertimbangkan oleh pihak kerajaan dan agensi-agensi tertentu. Kalau terpaksa diambil tindakan siasatan, maka tentulah itu perlu dilakukan.
"Ini adalah pendekatan yang kita ambil... dan pendekatan ini adalah untuk semua," kata perdana menteri lagi.
Ditanya sama ada kerajaan akan memfail tindakan terhadap Dr Mahathir, Abdullah berkata: "Saya tidak buka fail (siasatan) terhadap sesiapa..."
Ditanya bagaimana pula dengan BPR, Abdullah berkata, terserah kepada badan itu untuk membuka fail siasatan jika wajar berbuat demikian.
Tambahnya, jika ada perkara yang boleh diterima sebagai bukti, maka terserahlah kepada BPR untuk mengambil tindakan.
Jalankan inkuiri
Param menggesa siasatan dijalankan terhadap Dr Mahathir berhubung campur tangannya dalam siasatan BPR pada 1998 seperti didedahkan oleh bekas ketua pengarah BPR Datuk Shafee Yahya dalam perbicaraan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Shafee memberitahu mahkamah pada 2000 bahawa Dr Mahathir telah mengarahkannya supaya menutup siasatan terhadap seorang pegawai tinggi kerajaan di Jabatan Perdana Menteri.
Keterangan Shafee itu, tambah Param, menunjukkan Dr Mahathir mencampuri siasatan yang sedangkan dijalankan terhadap ketua pengarah Unit Perancangan Ekonomi (EPU).
Kit Siang pula berkata, inkuiri perlu diadakan terhadap dakwaaan salah guna kuasa sewaktu pentadbiran Dr Mahatir yang menurutnya telah menjejaskan institusi seperti badan kehakiman.
Ezam pula menggesa Abdullah supaya memastikan kebebasan badan pencegah rasuah dan badan kehakiman.
"Jika ada bukti yang cukup, Dr Mahathir mesti didakwa," tegasnya.
Abdullah menggantikan Dr Mahathir pada 2003.
Tetapi selepas perdana menteri membatalkan beberapa projek yang dimulakan sewaktu pentadbirannya, Dr Mahathir menuduh Abdullah tidak cekap menguruskan ekonomi, salah pengurusan, pilih kasih dan rasuah.