Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MPSP sekat ceramah Pakatan Rakyat?
Diterbitkan:  Apr 5, 2008 1:44 PM
Dikemaskini: 8:00 PM

Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) didakwa cuba menghalang program ceramah Pakatan Rakyat yang dijadualkan Isnin depan.

Ceramah itu akan disertai ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, timbalannya Mohd Fairuz Khairudin, presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan naib presidennya Mohamad Sabu.

Menurut laporan Harakahdaily.net , ia pada awalnya dijadualkan diadakan di stadium Batu Kawan tetapi terpaksa dibatalkan dengan alasan perlawanan bola sepak akan berlangsung di situ.

Setelah ia dialihkan ke Dewan Besar Sungai Dua, Perpustakaan Negeri pula dikatakan akan mengadakan program di situ.

Setiausaha perhubungan PAS Pulau Pinang, Fazhil Kemi semalam dilaporkan berkata, sehingga kini lokasi program itu masih belum pasti.

Tinjauan media rasmi PAS itu mendapati alasan MPSP seperti ada perlawanan bola sepak dan untuk kegunaan Perpustakaan Negeri "hanya rekaan pegawai terbabit sahaja untuk menghalang program daripada diadakan".

Fazhil menambah, MPSP wajar menerima permohonan PAS untuk mengadakan program besar itu kerana penganjur bersedia membayar sewa.

"Nampak gayanya MPSP cuba halang program yang bakal diatur dengan memberikan alasan yang kurang bijak," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS