Kabinet telah meluluskan siaran langsung, tanpa tapisan, persidangan Dewan Rakyat bermula 30 April ini, kata menteri penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek hari ini.
Siaran sesi soal jawab itu akan bermula jam 10 hingga 10.30 pagi.
"Tidak akan ada tapisan. Mereka yang berucap di Dewan Rakyat semuanya ahli parlimen," katanya, seperti dilaporkan laman web The Star Online .
"Apa yang mereka hendak katakan, itu di luar kawalan kita. Tetapi yang penting, rakyat telah memilih wakil-wakil mereka. Pastilah mereka mahu tahu apa yang berlaku di Parlimen."
Bercakap di sidang media di Angkasapuri, Ahmad Shabery berkata, "jika mereka bercakap kasar, atau mengetuk-ngetuk meja, itu di luar kawalan kita. Saya tidak fikir ahli parlimen kita akan bertindak begitu, kalau tidak mereka tidak akan dipilih sebagai anggota parlimen."