Universiti Malaya perlu diterajui oleh seorang tokoh pendidikan terkemuka bagi memulihkan kemerosotan kualiti dan kedudukan universiti tertua di Malaysia ini dalam tangga dunia.
Ahli parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata, pemulihan ini menjadi tugas pertama Menteri Pengajian Tinggi yang baru, Datuk Khaled Nordin (foto) apabila perkhidmatan naib canselor UM Datuk Rafiah Salim tamat hujung bulan ini.
Beliau yang juga penasihat ekonomi kepada setiausaha agung DAP berkata, Rafiah dilantik menggantikan Datuk Profesor Dr Hashim Yaacob dua tahun lalu untuk menangani masalah kemerosotan kualiti dan kedudukan mutu UM.
Bagaimanapun, katanya, kedudukan UM terus merosot dalam pemeringkatan Times Higher Education Supplement (THES) - dari tangga 169 pada 2005 (ketika diambil alih Rafiah) kepada 192 pada 2006 dan tangga ke-245 tahun lalu.
UM juga masih belum tersenarai dalam pemeringkatan 500 universiti terkemuka dunia yang disediakan oleh Universiti Shanghai Jiaotung, kata Pua dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Rafiah tidak mengambil langkah-langkah perlu untuk menangani kemerosotan kualiti tersebut.
Sebaliknya, tegas beliau, Rafiah memilih untuk menggembirakan rakyat Malaysia dengan menyatakan bahawa UM berada di tangga ke-13 dalam kumpulan negara anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).
Pua juga mendakwa, Rafiah telah memberi amaran kepada seorang pensyarah kerana menulis artikel - mengkritik cara pilihanraya kampus dikendalikan - yang disiar dalam akhbar tempatan tahun lalu.
Pensyarah tersebut, katanya, telah "dinasihatkan" oleh Rafiah supaya tidak menulis mengenai perkara-perkara yang menyentuh universiti tersebut.
Namun begitu, kata Pua, naib canselor UM itu "berani" memberitahu sebuah forum pelajar Ogos lalu bahawa mahasiswa universiti awam bebas menyuarakan idea dan pandangan mereka.
"Oleh itu, saya menyeru menteri pengajian tinggi yang baru supaya mengambil semua langkah perlu, yang tidak pernah dilakukan sebelum ini, untuk mencari pengganti naib canselor UM itu, bukan sahaja dari kalangan tokoh pendidikan tempatan, tanpa mengira kaum dan agama, tetapi juga di kalangan tokoh pendidikan terkemuka dunia, bagi memulihkan kualiti universiti tertua di negara ini," katanya.
Jawatankuasa bebas
Sehubungan itu, Pua mencadangkan kementerian pengajian tinggi supaya:
1. Menubuhkan sebuah jawatankuasa bebas untuk mencari calon naib canselor yang benar-benar berkemampuan meningkatkan kualiti dan piawaian pendidikan universiti tempatan, dan bukan kerana hubungan politiknya.
2. Kualiti anggota jawatankuasa tersebut diperbaiki setiap masa dengan memberi penekanan kepada kecemerlangan akademik. Manakala tokoh akademik bertaraf dunia dilantik mengenal pasti calon-calon yang mempunyai ketokohan dan pengalaman pentadbiran untuk menerajui universiti tempatan.
3. Urusan menyenarai-pendek calon-calon tidak dilakukan oleh Kementerian Pengajian Tinggi, supaya sebarang pelantikan tidak dihadkan kepada kakitangan kerajaan atau timbalan naib canselor. Sebaliknya senarai itu hendaklah berasaskan permohonan yang diterima melalui iklan yang disiarkan di peringkat antarabangsa, bagi mendapatkan calon yang terbaik.
"Hanya bila tokoh akademik/pentadbir yang berkelas dunia dipilih menerajui dan diberi kebebasan untuk mereformasikan universiti kita, tanpa sebarang campur tangan politik, maka kita akan dapat memulihkan kualiti pusat pengajian tinggi tempatan.
"Dan apabila standard institusi pengajian tinggi kita ditingkat, maka kita akan dapat menyediakan pendidikan yang berkualiti kepada generasi masa depan kita, jika tidak mereka tidak akan dapat memanfaatkan potensi mereka sepenuhnya," katanya.