Pengerusi DAP, Karpal Singh meminta Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu supaya memohon maaf secara terbuka kepada isteri wakil rakyat Kota Alam Shah, S Puspaneela, kerana mendakwa beliau telah meminta bantuannya untuk membebaskan suaminya, M Manoharan, dari tahanan ISA.
"Samy Vellu tidak sepatutnya mengelirukan rakyat dengan mengatakan Pushpaneela telah menemuinya, sedangkan, hakikatnya, beliau tidak berbuat demikian.
"Adalah pelik untuk Samy Vellu meminta supaya lima pemimpin Hindraf dibebaskan, sedangkan, sebelum mereka ditahan pada 13 Disember 2007, beliau telah membuat kenyataan bahawa beliau tidak membantah mereka ditahan atas arahan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga menteri dalam negeri ketika itu," kata Karpal dalam satu kenyataan hari ini.
Manohan dan empat lagi pemimpin Hindraf - P Uthayakumar, V Ganabatirau, R Kengadharan dan K Vasantha Kumar - ditahan pada 13 Disember lalu bawah ISA selepas terbabit menganjurkan perhimpunan 25 November lalu serta membuat kenyataan yang berunsur hasutan terhadap kerajaan.
Dalam pilihanraya umum pada 8 Mac lalu, Manoharan yang bertanding atas tiket DAP menang dengan majoriti 7,184 undi.
Beliau mendapat 12,699 undi untuk menewaskan calon BN-Gerakan, Ching Su Chen yang memperolehi 5,515 undi.
Isteri nafi
Karpal berkata, presiden MIC itu tidak sepatutnya menggunakan taktik murahan seumpama itu untuk memenangi semula keyakinan dan sokongan masyarakat India, yang tidak lagi menyokong beliau kerana mengabaikan kepentingan mereka.
"Beliau patut sedar, bila tirai sudah dilabuhkan, ahli politik yang sudah ditolak dan diketepikan seharusnya mengundurkan diri secara bermaruah," kata Karpal lagi.
Karpal yang juga ahli parlimen Bukit Gelugor berkata, Manohan, adalah seorang ahli DAP yang setia.
"Oleh itu, DAP yang akan mendapatkan sokongan, di dalam dan di luar negeri, untuk pembebasan kelima-lima pemimpin Hindraf itu," katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan Samy Vellu supaya jangan lagi mengacau dan mencari publisiti murah.
Semalam, Pushpaneela menafikan bahawa beliau telah meminta bantuan presiden MIC untuk mendapatkan pembebasan suaminya.
Katanya, beliau tidak mengerti mengapa Samy Vellu mahu merayu kepada Abdullah sekarang supaya membebaskan para pemimpin Hindraf itu sekarang, sedangkan beliau boleh berbuat sebelum ini.
Reaksi Samy Vellu
Sementara itu, Samy Vellu berkata, beliau ikhlas dalam usahanya meminta kerajaan membebaskan lima pemimpin Hindraf yang ditahan mengikut ISA.
"Tak masuk akal untuk mengatakan saya lakukan ini untuk mencari publisiti dan populariti. Walau apapun saya akan terus berusaha meminta perdana menteri dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar untuk membebaskan mereka," katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, anggota keluarga dua daripada lima pemimpin Hindraf itu telah menghubungi beliau untuk mendapatkan bantuannya berhubung pembebasan mereka.
Semalam, Syed Hamid berkata kerajaan tidak akan membebaskan pemimpin-pemimpin Hindraf itu kerana ditahan mengikut undang-undang manakala Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam pula berkata Samy Vellu tidak seharusnya menggunakan isu penahanan itu untuk tujuan publisiti bagi kepentingan politiknya.
