kemaskini 8:20pm Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menuduh menantu perdana menteri Khairy Jamaluddin mempengaruhi senarai calon-calon BN menjelang hari penamaan calon akhir Februari lalu.
"Siapa yang tukar (nama calon)? Siapa yang duduk bilik sebelah?" katanya, dengan melambangkan secara sinis naib ketua Pemuda Umno itu sebagai penasihat di istana "duli yang maha mulia sultan (Datuk Seri) Abdullah (Ahmad Badawi) shah".
Kira-kira separuh muka lama digantikan calon baru dalam pilihanraya umum lalu sehingga menimbulkan undi bantahan yang meluas apabila tokoh-tokoh di peringkat bahagian tidak bertanding.
Dr Mahathir berkata akibat campur tangan Khairy itu, ramai calon penting Umno tidak dapat bertanding dalam pilihanraya 8 Mac lalu.
"Ramai jaguh-jaguh Umno tidak dapat bertanding, orang baru diberikan tempat," katanya.
"Inilah reformasi baru ala KJ (Khairy Jamaluddin)," tambah Dr Mahathir, disambut sorakan dan tepukan gemuruh kira-kira 1,000 peserta.
"Janganlah cuba kita bagi alasan yang tidak benar. Terimalah hakikat bahawa kekalahan ini disebabkan oleh pihak tertentu yang memberi ruang kepada kaum keluarga memerintah negara kita."
Bekas perdana menteri itu berucap selepas forum 'Umno Pasca Pilihanraya ke-12: Satu Penilaian', anjuran kumpulan penyokong parti itu MyKmu.net, di sebuah hotel di Petaling Jaya tengah hari ini.
Beliau menyalahkan kebergantungan Abdullah kepada penasihat daripada kalangan anggota keluarganya itu sebagai penyebab ketewasan teruk Umno dan BN.
Dr Mahathir berkata beliau sendiri tidak faham mengapa kebanyakan pemimpin Umno begitu takut kepada menantu perdana menteri itu.
"Jika ada yang tidak bersetuju, perdana menteri bawa berjumpa dengannya (Khairy) supaya dia bersetuju," katanya.
Akibatnya, tambah Dr Mahathir, "kabinet (menjadi) tidak relevan, Majlis Tertinggi tidak relevan."
Anggota MT pula ramai yang hanya pandai bersetuju sahaja dengan kehendak presiden Umno.
Beliau juga mengulangi rasa kecewanya apabila menyedari ramai pemimpin Umno dilarang bertemunya selepas beliau meninggalkan kedudukan dalam parti dan negara.
"Siapa yang jumpa saya, akan masuk senarai hitam Khairy," katanya.
Beliau juga membidas ketua penerangan Umno Tan Sri Muhammad Muhd Taib yang didakwa cuba menghalang pemimpin dan ahli parti itu menyertai forum dan ucapannya hari ini.
Dr Mahathir juga mengubah fikirannya tentang Datuk Seri Najib Razak sebagai calon paling layak pengganti perdana menteri akan datang - berbeza dengan pendirian awalnya sehari selepas pilihanraya umum 8 Mac.
"Walaupun dahulu saya kata Najib tetapi tidak tahulah kenapa, saya ubah fikiran," katanya dalam sesi soal jawab, mengulas sikap timbalan perdana menteri itu yang dianggap seorang peserta sebagai "tidak tetap pendirian" dalam isu kepemimpinan negara.
Dr Mahathir mengulangi sokongannya pada saranan bekas naib presiden Umno, Tengku Razaleigh Hamzah, agar mengadakan mesyarat agung khas membincangkan prestasi terburuk parti itu.
Beliau turut menggesa pemimpin Umno agar berani jika mahu perubahan pucuk kepemimpinan parti.
"Ahli Umno mesti berani. Jangan kerana takut pada pemimpin kita tidak sayang Umno. Tidak guna kita cakap sayang Umno tetapi takut," katanya lagi.
Sebelumnya, bekas menteri besar Selangor Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo, exco Pemuda Umno Datuk Mukhriz Mahathir dan ketua penerangan Johor, Datuk Dr Mohd Fuad Zarkashi bercakap di forum tersebut.
Mukhriz berkata, sewaktu bapanya memimpin negara, Dr Mahathir melarang anak-anaknya menyertai politik kerana bimbang pengaruh ahli keluarga.
Sekarang, tambahnya, makin meluas amalan rasuah, kronisme dan nepotisme dalam negara, selain masalah jenayah yang meningkat dan kenaikan harga barang.
Media pula, Mukhriz berkata, digunakan untuk tujuan propaganda sahaja, bukan mendengar suara orang ramai.
"Pihak-pihak tertentu sahaja mendapat liputan, bukan rakyat, bukan Umno tetapi individu tertentu sahaja," katanya.
Beliau juga menyebut, mesej-mesej SMS diedarkan secara meluas oleh pihak tertentu untuk menyekat ahli Umno mendengar pandangan mereka di forum tersebut.
Forum yang semakin panas pada sesi soal jawab mendorong seorang ketua Pemuda cawangan dihalau keluar apabila ramai peserta berang pada soalannya yang menyentuh isu penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan parti itu.