Serangan lama kira-kira sedekad lalu berulang lagi antara dua tokoh negara ini - Tun Dr Mahathir Mohamad menuduh bekas timbalannya Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ejen asing yang kemudiannya akan memperalatkan orang Melayu.
"Kita tahu orang Barat dan Eropah percaya bahawa Anwar tak lama lagi akan jadi Perdana Menteri.
"Tak lama lagi bolehlah cucuk hidung nak heret ke mana-mana," kata bekas perdana menteri itu di sesi soal-jawab selepas merasmikan mesyuarat agung Persatuan Melayu Tanjong hari ini.
Beliau diminta mengulas laporan media luar negara yang meramalkan kemungkinan Anwar menjadi perdana menteri tidak lama lagi.
Susulan kemenangan besar-besaran pembangkang, termasuk PKR, prospek Anwar sebagai perdana menteri menjadi analisis popular di dalam dan luar negara.
Pilihanraya umum 8 Mac menyaksikan kemaraan deras pembangkang apabila pertama kali berkaya menawan lima negeri dan menafikan majoriti dua pertiga BN di Dewan Rakyat.
Dr Mahathir berkata, orang Melayu akan menjadi alat orang asing jika memilih Anwar sebagai perdana menteri.
"Kalau orang Melayu nak diheret ke sana sini oleh orang asing, sila pilih orang itu (Anwar).
"Saya minta maaflah, dia buat bagi nama saya cukup buruk di seluruh dunia kononnya saya tangkap dia, buang dia masuk penjara," beliau dipetik Bernama sebagai berkata.
Laporan itu juga menyebut, Dr Mahathir mendakwa Anwar seorang yang pandai berkata-kata dan boleh menarik minat ramai orang daripada pelbagai golongan dan latar belakang.
"Kalau cakap berkenaan agama Islam, semua orang Islam anggap dia sebagai jaguh agama.
"Bila dia bercakap dengan orang kampung bagus juga, bila dia bercakap dengan orang buat kuil pun bagus juga."
Sewaktu Anwar dipecat daripada kabinet dan Umno pada 1998, isu ejen asing sering dimainkan oleh media tempatan.
Pengikutnya dan pembangkang juga pernah dituduh sedemikian.
Mahathir pernah menuduh Anwar sebagai "ejen asing" sewaktu mengulas dakwaan bekas ketua pemuda PKR (dulu, Parti Keadilan Nasional) Ezam Mohd Nor bahawa beberapa kotak dokumen rasmi kerajaan disimpan di luar negara.