kemaskini 1:20pm Setelah berjaya merampas Perak tiga minggu lalu, pakatan tiga parti pembangkang hari ini mula membentuk kerajaan apabila selesai membariskan 10 anggota majlis mesyuarat kerajaan negeri.
Istiadat angkat sumpah jawatan diadakan jam 11 pagi di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar di depan Pemangku Sultan Perak, Raja Dr Nazrin Shah.
Ketiga-tiga parti pembangkang memperoleh 31 daripada 59 kerusi - dengan pecahan DAP (18), PKR (tujuh) dan PAS (enam).
Walaupun awalnya berdepan dengan kemelut pelantikan menteri besar Mohamad Nizar Jamaluddin dan kemudian pengagihan jumlah exco, mereka dipercayai dapat menyelesaikannya dengan agihan enam wakil DAP, tiga PKR dan satu PAS.
Mohamad Nizar, wakil rakyat PAS di Pasir Panjang, mengangkat sumpah pada 17 Mac.
Senarai penuh barisan exco yang mengangkat sumpah pagi ini:
Wakil DAP
pengerusi Perak Ngeh Koo Ham (wakil rakyat Setiawan),
setiausaha negeri Nga Kor Ming (Pantai Remis),
ahli jawatankuasa negeri Su Keong Siong (Pasir Pinji),
bendahari negeri Chen Fook Chye (Keranji),
ahli jawatankuasa eksekutif pusat A. Sivanesan (Sungkai), dan
penolong setiausaha pengurusan nasional Seah Leong Peng (Pasir Bedamar).
Wakil PKR
timbalan pengerusi Perak Tai Sing Ng (Kuala Sepetang),
bendahari negeri Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang), dan
ketua penerangan bahagian Bukit Gantang Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering).
Wakil PAS
ahli jawatankuasa negeri Mohd Zainudin Mohd Yusof (Lubok Merbau).
Bagaimanapun portfolio 10 exco ini belum diumumkan.
Turut hadir di majlis itu, Raja di Hilir Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa, Raja Puan Muda Perak Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah, setiausaha kerajaan negeri Datuk Dr Abdul Rahman Hashim, mufti Perak Datuk Seri Harussani Zakaria dan beberapa wakil rakyat BN.
Lima negeri yang kini dikuasai parti-parti telah selamat mengangkat sumpah menteri besar dan barisan exco negeri masing-masing walaupun pada awalnya menghadapi masalah dalaman di Selangor dan Perak.
Sementara di negeri yang dikuasai BN, hanya Terengganu yang belum menyenaraikan barisan exco selepas 21 hari berakhir pilihanraya umum awal bulan ini.
Menteri besar baru negeri itu, Datuk Ahmad Said, dijadual mengangkat sumpah esok selepas krisis pelantikan jawatan itu berlarutan selama hampir tiga minggu.
Barisan exco negeri akan diumumkan lebih kurang seminggu lagi.