Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Besi, Datuk Din Adam menafikan laporan dalam beberapa blog bahawa Istana Terengganu telah menarik balik anugerah Datuk kepadanya.
Dengan nada yang tinggi, bekas exco kerajaan negeri itu berkata: "Saya malas jawab soalan seperti ini."
"Orang tidak beritahu saya. Tiada orang hantar surat kepada isteri saya di rumah."
Din (foto) berkata demikian ketika ditemui di ibu pejabat Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibu negara semalam.
Blog-blog tersebut mendakwa bahawa Din adalah antara tiga pemimpin Umno Terengganu yang telah ditarik balik anugerah Datuk.
Dua lagi pemimpin ialah bekas menteri besar, Datuk Seri Idris Jusoh dan setiausaha Umno negeri, Datuk Rosol Wahid.
Penarikan balik gelaran Datuk itu dipercayai ekoran krisis pelantikan menteri besar Terengganu yang membabitkan Datuk Ahmad Said dan Idris.
Din juga mendakwa tulisan-tulisan di dalam blog telah menyebabkan "negara menjadi huru-hara".
"Susah hendak bercakap perkara ini kerana ia isu Raja (Sultan)," tambahnya.
Sementara itu, Rosol tidak dapat dihubungi bagi mengulas perkara tersebut.