Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Marah S'gor teruskan setinggan sifar
Diterbitkan:  Mar 27, 2008 3:04 PM
Dikemaskini: 9:01 AM

Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit) membantah keras rancangan kerajaan negeri Selangor bawah kepimpinan menteri besar baru, Tan Sri Khalid Ibrahim untuk meneruskan dasar setinggan sifar BN.

"Dasar ini pada asasnya tidak berniat untuk menyelesaikan masalah perumahan rakyat berpendapatan rendah di Selangor, tetapi lebih merupakan kempen membantu pemaju yang mahu merampas tanah yang sudahpun dimajukan dan diusahakan oleh peneroka bandar sejak beberapa dekad," kata Jerit dalam satu kenyataan hari ini.

kg berembang villagers photo set of demolition 150307 rela workers Menurutnya, dasar setinggan sifar yang diperkenalkan pada 2005 oleh Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo telah memusnahkan ratusan rumah peneroka bandar di seluruh Selangor.

"Rata-rata hak peneroka bandar dinafikan dan mereka tidak diberikan pampasan yang wajar atau perumahan alternatif yang tetap dan sesuai.

"Dasar ini juga turut membawa kepada penyalahgunaan kuasa oleh polis, Rela dan majlis perbandaran, yang digunakan untuk mengusir secara paksa dan kejam para peneroka dari rumah mereka," tambah kenyataan tersebut, yang dikeluarkan oleh urusetianya, E Nalini.

Malah, tegasnya, ada segelintir exco negeri Selangor dan juga ahli parlimen pembangkang yang menang baru-baru ini, pernah terlibat mempertahankan rumah peneroka semasa dirobohkan.

Berita mengejutkan

"Para peneroka bandar juga telah memainkan peranan penting memastikan kemenangan ramai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan ahli parlimen, dengan harapan mereka memastikan dasar pengusiran secara paksa, dapat dihentikan.

"Adalah diharap menteri besar dan para exco yang baru dilantik, tidak terlupa perjuangan Kampung Berembang di Ampang, Kampung Papan di Pandamaran dan juga Kampung Rimba Jaya," tambah kenyataan tersebut.

kg berembang demands pc 170407 tents Jerit menyifatkan keputusan untuk meneruskan dasar setinggan sifar itu sebagai "satu berita yang amat mengejutkan" semua peneroka bandar dan kumpulan masyarakat serta aktivis yang terlibat dalam isu tersebut.

Sebaliknya, kata Jerit, kerajaan Selangor harus berlaku adil kepada rakyat dengan memberikan rumah alternatif kepada semua peneroka bandar yang menghadapi masalah perumahan.

"Kesilapan pihak pemerintah yang dahulu tidak harus diteruskan dan kerajaan negeri baru ini harus berkhidmat mengikut aspirasi rakyat dan bukanya mengejutkan mereka dengan berita sebegini," tambahnya.

Tuntutan Jerit

Sehubungan itu, Jerit menuntut kerajaan Selangor:

bullet button Membatalkan dasar setinggan sifar dan menggantikannya dengan Dasar Perumahan Rakyat untuk Semua bagi menyediakan kemudahan perumahan dan tanpa niat memaksa pengusiran.

bullet button Mengambil tindakan yang sewajarnya untuk menyelesaikan masalah perumahan peneroka bandar kerana masih ada yang tinggal di khemah-khemah sementara.

bullet button Membatalkan serta-merta semua notis pengusiran yang dikeluarkan oleh kerajaan sebelumnya dan membuat kajian semula.

bullet button Memastikan kerajaan tempatan tidak akan lagi menggunakan undang-undang keras seperti Ordinan Darurat Pembersihan Setinggan 1969 untuk mengusir masyarakat peneroka bandar.

bullet button Memahami dan mengambil kira semua pengisytiharan hak asasi manusia antarabangsa mengenai perumahan, cadangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mengenai hak perumahan dan tuntutan Jerit kepada kerajaan negeri sebelum ini.

bullet button Mengadakan perbincangan dengan kumpulan masyarakat, penduduk dan aktivis yang terlibat dalam isu perumahan untuk memahami isu sebenar sebelum membuat sebarang keputusan.

"Jangan khianati peneroka bandar, hak mereka harus dibela," tegas kenyataan itu lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS