Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

kemaskini 6:55pm Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, yang juga Sultan Terengganu, akan berangkat pulang pagi Sabtu ini.

Keberangkatan pulang baginda mencuri tumpuan negara susulan tercetusnya kemelut pelantikan menteri besar sehingga kerajaan baru Terengganu gagal dibentuk selepas 19 hari tamat pilihanraya umum awal bulan ini.

Negeri yang kaya dengan petroleum itu dilanda krisis pelantikan menteri besar apabila wujud ketegangan antara wakil rakyat Kijal, Datuk Ahmad Said, yang dilantik pihak istana dengan kumpulan Datuk Seri Idris Jusoh, yang didukung Perdana Menteri.

Tuanku Mizan dijadual tiba jam 10 pagi dan akan disambut besar-besaran di lapangan terbang antarabangsa Sultan Mahmud di Seberang Takir.

sultan mizan zainal abidin the new agong agung king Sambutan tersebut akan dianjurkan oleh sekumpulan badan bukan kerajaan (NGO) sebagai mewakili rakyat Terengganu.

Gabungan NGO itu antaranya disertai kumpulan bekas pelajar Sekolah Menengah Sultan Sulaiman, sekolah Tuanku Mizan.

Jurucakap gabungan itu Fariz Musa berkata, beberapa ribu orang dijangka berkumpul di lapangan terbang sebagai tanda taat setia dan sokongan mereka kepada baginda Sultan.

Sementara itu, Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat) petang ini melancarkan kumpulan rakyat penyokong Tuanku Mizan di Masjid Terapung di Kuala Ibai, kira-kira lima kilometer dari bandar Kuala Terengganu.

Malaysiakini difahamkan, di majlis itu mereka berjaya mengumpulkan lebih 500 tandatangan menyokong baginda, antaranya bekas speaker DUN Datuk Che Mat Jusoh.

Di majlis tersebut, pelekat "Daulat Tuanku" dan riben kuning untuk dilekatkan pada kenderaan turut diedarkan kepada orang ramai.

Beribu-ribu pelekat dan riben diedarkan.

Pada jam 8 malam ini, katanya, sembahyang hajat yang diketuai imam besar Masjid Negara, Datuk Sheikh Ismail Mohammad akan berlangsung di masjid tersebut untuk memohon perlindungan daripada Allah ke atas baginda dan Pemangku Raja.

Difahamkan, pelekat kenderaan dan kain rentang "Daulat Tuanku" mulai dipasang sejak semalam.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS