Barisan pemimpin Pemuda mahu pemilihan parti diadakan tahun ini bagi membuktikan Umno sebuah parti bertanggungjawab dan mengamalkan demokrasi tulen demi kepentingan ahli dan rakyat.
Ketua Pemuda Umno bahagian Ipoh Barat, Ahmad Faizal Azumu berkata, ia penting bagi menunjukkan Umno sebuah parti yang mendahulukan hak dan kepentingan ahlinya serta tidak melindungi kepentingan individu tertentu.
"Kita sudah berada dalam masa tambahan selepas pemilihan ditangguhkan bagi memberikan laluan kepada pilihanraya umum ke-12.
"Keputusan pucuk pimpinan (menangguhkan pemilihan) akan menidakkan hak ahli untuk memilih pemimpin mereka," katanya.
Bernama memetik Faizal sebagai berkata, pemilihan parti perlu diadakan tahun ini bagi mengembalikan keyakinan rakyat dan ahli terhadap kredibiliti kepimpinan Umno.
"Melalui pemilihan, ahli boleh menilai pemimpin di peringkat cawangan, bahagian dan pusat yang tidak berprestasi dalam parti dan semasa pilihanraya umum lepas. Dengan kata lain, pemilihan parti ini pembetulan kepada apa yang silap.
"Kalau pemimpin itu gagal, maka ini masa yang sesuai untuk tidak terima sebarang pencalonan," kata Faizal yang turut menyokong pandangan exo Pemuda Umno Datuk Mukhriz Mahathir bahawa pemilihan perlu disegerakan bagi menghormati suara akar umbi dan bukti bahawa demokrasi dalam Umno masih segar.
Naib ketua Pemuda Umno bahagian Titiwangsa, Idham Yasser berkata penangguhan pemilihan itu seolah-olah usaha untuk melindungi atau mengekalkan individu tertentu dan bukannya mengembalikan kekuatan parti.
"Kita tak mahu orang kata Umno tidak relevan ataupun ahli Umno hanya tahu angguk sahaja. Kita sepatutnya membetulkan keadaan dengan mengadakan pemilihan parti ini," katanya.
'Siapa layak memimpin'
Bagi naib ketua Pemuda Umno bahagian Seputeh, Alawi Dahalin, cadangan penangguhan itu akan menyebabkan pemimpin Pemuda yang berpotensi hilang kelayakan untuk bertanding ke jawatan lebih tinggi dalam pergerakan itu ekoran had umur 40 tahun mengikut perlembagaan parti.
"Pemilihan parti perlu diadakan pada tahun ini untuk memberi peluang kepada ahli menilai kembali siapa yang layak jadi pemimpin dalam Umno seperti mana rakyat menilai Umno dalam pilihanraya umum lepas," katanya.
Beliau berkata, pucuk pimpinan tidak boleh menafikan realiti di akar umbi ekoran kehilangan sokongan terhadap BN dan Umno yang menunjanginya dengan menangguhkannya.
Pemilihan parti, tambahnya, sememangnya medan ahli Umno memberikan pandangan dan pendirian mereka.
Pandangan Alawi itu senada dengan naib ketua Pemuda Umno bahagian Pasir Puteh, Kelantan, Aminuddin Muhammad yang menyatakan, Umno akan kesuntukkan masa untuk menghadapi pilihanraya akan datang sekiranya menangguhkan pemilihan parti.
"Kalau tak buat (pemilihan parti) maka ia bukan untuk pilihanraya tapi kepentingan individu tertentu. Lebih baik kita bergaduh dalam pemilihan untuk kebaikan parti daripada menangis lagi di kemudian hari (pilihanraya akan datang)," katanya.
Naib ketua Pemuda Umno bahagian Johor Bahru, Nornekman Osman berkata penanguhan pemilihan dalam jangka masa panjang akan mewujudkan kelompok-kelompok yang melemahkan Umno serta lari daripada fokus utama kepimpinan parti untuk memulihkan Umno.
Katanya, pertembungan dalam suasana hangat adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan ekoran keputusan pilihanraya lepas yang menuntut kepimpinan menfokuskan usaha menguatkan parti melebihi kepentingan lain.
Katanya, pemilihan itu akan membuktikan kepada ahli khasnya dan rakyat amnya, akan ketelusan dan sifat bertanggungjawab parti dalam mengembalikan keyakinan mereka kepada Umno.