Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PKR, Raja Petra kena bayar RM7 juta
Diterbitkan:  Mar 26, 2008 7:06 PM
Dikemaskini: 5:31 PM

kemaskini 11:55pm Seorang penulis blog popular, PKR dan akhbar parti itu diperintah membayar ganti rugi semuanya berjumlah RM7 juta kepada naib canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam satu kes saman fitnah.

Timbalan pendaftar Mahkamah Tinggi Alor Star memerintah Raja Petra Kamaruddin, PKR ketua pengarang serta editor akhbarnya Suara Keadilan membayar jumlah itu kepada Tan Sri Nordin Kardi dan UUM.

Mahkamah memutuskan Raja Petra, sebagai defendan pertama, memfitnah Nordin dan UUM apabila menerbitkan di blognya Malaysia Today (www.malaysia-today.net) pada 16 Disember 2006 dalam artikel bertajuk "Dato Dr. Nordin Kardi ciplak karya saya? Mohon penjelasan".

PKR, sebagai defendan kedua, dan akhbarnya itu didakwa menyiarkan artikel bertajuk "NC UUM Penciplak" pada 27 Disember 2006.

Raja Petra diperintah membayar kepada dua pihak itu masing-masing RM2 juta.

Timbalan pendaftar, Priscilla Gengadaran, juga mengarahkan ketua pengarang dan editor Suara Keadilan masing-masing membayar RM1 juta kepada Nordin.

Akhbar itu juga, sebagai defendan ketiga dan keempat, masing-masing diperintah membayar RM500,000 kepada universiti itu.

Penghakiman itu dikeluarkan pagi tadi setelah kesemua defendan gagal menghadirkan diri atau membawa peguam bela ke mahkamah.

Menurut Bernama , artikel itu mendakwa Dr Nordin telah menciplak satu tulisan bekas presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) universiti itu Muhtar Suhaili yang bertajuk "Mahasiswa dan Tanggungjawab Mengurus Kejayaan".

Dr Nordin menafikan dakwaan menulis rencana itu dan meminta Raja Petra serta akhbar terbabit memohon maaf kepada naib canselor dan UUM.

Raja Petra dan Suara Keadilan tidak memohon maaf.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS