Suara Rakyat Malaysia (Suaram) memandang berat rancangan kerajaan negeri Selangor untuk mengutip yuran bulanan sebanyak RM10 daripada majikan pekerja asing di negeri itu bagi kegunaan latihan belia tempatan yang menganggur.
Ketika mengumumkan dasar baru itu, menteri besar Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, dalam jangka panjang, para belia berkenaan akan mengurangkan penggantungan terhadap pekerja asing.
Pengarah eksekutif Suaram, Yap Swee Seng berkata, pihaknya bimbang, bayaran tersebut akhirnya akan dipotong daripada gaji pekerja asing itu sendiri.
Lagi pula, katanya, menggunakan wang yang dikutip daripada pekerja asing - untuk melatih semula belia menganggur yang akhirnya akan menggantikan mereka - satu langkah yang tidak wajar.
Yap berkata pekerja asing merupakan kumpulan yang paling dieksploitasi dan paling terpinggir.
Katanya, selain bekerja dalam keadaan yang tidak sempurna, mereka juga dibayar gaji rendah dan sering dieksploitasi oleh majikan dan agensi pekerjaan, termasuk dikenakan potongan gaji yang tidak wajar, tempoh masa bekerja yang panjang dan dipecat secara tidak adil.
Tidak wajar
"Dengan mengenakan bayaran tersebut ke atas pekerja asing yang hanya cukup-cukup makan dan mungkin menanggung hutang kerana membayar yuran tinggi yang dikenakan untuk bekerja di Malaysia, (langkah Selangor itu) menambah beban pekerja asing dan keluarga mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Yap berkata dasar baru itu menunjukkan betapa tidak sensitifnya parti-parti politik di Malaysia, pembangkang ataupun kerajaan, terhadap nasib pekerja asing.
"PKR mendukung prinsip keadilan dan menang besar atas janji untuk menangani jurang pendapatan yang semakin meluas antara yang 'golongan berada dan tidak berada'.
"Tentunya, dengan mengena bayaran tersebut ke atas pekerja asing untuk membantu belia tempatan yang menganggur, ia tidak menepati prinsip dan semangat keadilan," tegas Yap lagi.
Oleh itu, katanya, Suaram menggesa Khalid supaya menarik balik dasar itu.
"Kami juga menggesa menteri besar supaya berunding dengan badan-badan awam yang memperjuangkan isu-isu pekerja asing sebelum membuat sebarang keputusan dasar pada masa akan datang," tambahnya.