Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ramai bantah tunda pemilihan
Diterbitkan:  Mar 26, 2008 1:42 PM
Dikemaskini: 4:58 PM

Semakin ramai pemimpin kanan Umno yang tidak bersetuju dengan cadangan supaya pemilihan parti itu yang dijadual Ogos ini ditangguhkan ke tahun depan.

Semalam, anggota parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Tun Mahathir mahu pemilihan parti diteruskan mengikut jadual.

Hari ini, dua lagi pemimpin kanan yang juga ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno - Datuk Seri Mohamad Hassan dan Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo - sependapat dengan pandangan Mukhriz.

mohamad hasan Bercakap selepas mesyuarat exco hari ini, Mohamad yang juga menteri besar Negeri Sembilan berkata, pemilihan parti tidak perlu ditangguhkan dan hendaklah diteruskan mengikut jadual.

Semalam, ketua penerangan Umno Tan Sri Muhammad Muhd Taib berkata, dalam pertemuan dengan presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, wakil badan-badan perhubungan negeri menggesa pemilihan Umno ditangguhkan hingga tahun depan.

Mengikut perlembagaan, Umno boleh menangguhkan pemilihan pucuk pimpinannya sehingga 18 bulan. Ini bermakna parti itu mempunyai tempoh sehingga Jun depan untuk mengadakannya.

Pemilihan Umno sepatutnya diadakan tahun lepas tetapi ditangguhkan untuk menghadapi pilihanraya umum ke-12.

MT Umno akan bermesyuarat esok bagi memutuskan perkara tersebut.

Mengapa tangguh?

Mohamad, yang juga pengerusi perhubungan Umno, mempersolkan penangguhan pemilihan parti kerana lambat laun ia harus diadakan.

"Mengapa hendak tangguh pemilihan parti? Jika ditangguhkan sekarang, ia kena diadakan juga kemudian," kata Mohammad, yang menegaskan pandangan itu bersifat peribadi.

Menurutnya lagi, jika Umno menghadapi masalah, tiada sebab untuk lari daripada menghadapinya.

"Kita mesti menyelesaikannya dalam semangat sebenar Umno," katanya.

Setiap masalah tidak boleh ditutup begitu sahaja, tambahnya.

khir toyo 181207 Sementara itu, The Star Online melaporkan Dr Mohamad Khir Toyo pula berkata Umno perlu mendapat pandangan ahli akar umbi sebelum memutuskan untuk menangguhkan pemilihan.

Bekas menteri besar Selangor itu berkata, pada kebiasaannya, keputusan dibuat di peringkat atasan tanpa mendapat maklum balas akar umbi.

Katanya, keputusan pilihanraya umum baru-baru ini menunjukkan betapa pentingnya untuk turut mengambil kira pandangan peringkat bawah.

'Tanya ketua cawangan'

"Kita mesti mengkajinya - sama ada ahli-ahli mahu perubahan. Kita ingin tahu apa sebenarnya yang berlaku di peringkat akar umbi. Bagi saya, cara terbaik ialah kembali kepada ketua-ketua cawangan dan bertanya apa pandapat mereka," katanya.

Dr Mohamad Khir berkata, tidak mencukupi hanya mengambil pandangan ketua-ketua badan perhubungan dan ketua-ketua bahagian sahaja kerana ia mungkin tidak mencerminkan sentimen sebenar di peringkat akar umbi.

mukhriz mahathir Semalam, Mukhriz berpendapat, Umno tidak wajar menangguhkan pemilihan bagi menghormati suara ahli-ahli Umno untuk memilih bakal pemimpin yang mereka kehendaki.

Katanya ini kerana pemilihan parti sangat penting dan ia merupakan satu proses demokrasi yang harus dilalui oleh parti.

Zahid setuju tangguh

"Saya merayu kepada kepimpinan Umno supaya tidak menunda pemilihan dan ikutlah seperti apa yang telah dikatakan (oleh presiden parti tahun lepas) iaitu pemilihan akan diadakan pada tahun ini," katanya dalam laporan Bernama semalam.

Mukhriz, yang juga anggota exco Pemuda Umno, berkata beliau yakin pertandingan merebut jawatan tidak akan menyebabkan perpecahan kerana perwakilan sekarang mampu membuat keputusan yang bijak tanpa emosi.

Cadangan untuk menangguhkan pemilihan itu ada kaitan dengan kekalahan teruk BN, termasuk Umno, dalam pilihanraya umum 8 Mac.

BN gagal mengekalkan penguasaan dua pertiga di Dewan Rakyat apabila hanya menang 140 daripada 222 kerusi parlimen.

Parti itu juga kehilangan empat lagi negeri - Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor - kepada barisan pembangkang, manakala PAS berjaya mengekalkan Kelantan dengan tambahan kerusi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS