Pihak istana wajar memberikan penjelasan berhubung pelantikan calon pilihannya, Datuk Ahmad Said, bagi menenangkan keadaan, kata timbalan presiden PKR Dr Syed Husin Ali.
Istana, tambahnya, haruslah menghormati suara ramai dan hasrat majoriti ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) tanpa mengira parti yang dipilih.
"Pihak istana sewajarnya tidak patut menyekat, melainkan ada alasan yang begitu kuat sehingga tidak boleh diterima sama sekali seseorang calon menteri besar yang dikemukakan oleh majoriti Adun," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
"Antara alasan itu seharusnya termasuklah hal-hal peribadi (seperti moral dan korupsi) dan akibat buruk ke atas negeri dan rakyat seandainya calon itu diangkat.
"Sehubungan ini, maka perlulah pihak istana memberikan penjelasan mengapa ia membuat keputusan yang berbeza untuk menenangkan keadaan."
Dr Syed Husin juga mempertikaikan Umno kerana tidak menghalang 23 Adun BN, satu daripadanya wakil MCA, memulaukan majlis angkat sumpah Ahmad yang asalnya dijadual kelmarin.
Umno, tambahnya, membuat pelbagai tuduhan dan tunjuk perasaan apabila DAP ugut memulau majlis angkat sumpah menteri besar baru Perak baru-baru ini.
"Mengapakah pimpinan tertinggi Umno tidak mahu menyekat Adun-Adun Umno di Terengganu yang merancangkan boikot juga? Adakah parti luar kerajaan tidak boleh melakukan apa yang pihak kerajaan Umno boleh bermaharajalela melakukan?" katanya, yang menyifatkan pendirian Umno sebagai dwi-piawaian (double standard).
Ketua utama DAP Lim Kit Siang membantah wakil PAS Mohamad Nizar Jamaluddin sebagai pemegang jawatan itu sehingga majlis angkat sumpah ditangguhkan.
Beliau bagaimanapun telah memohon maaf kepada dan menghadap Pemangku Sultan Perak, Raja Dr Nazrin Shah selepas majlis tersebut yang diadakan minggu lepas.