kemaskini 9:13pm Bekas menteri besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh, memohon keampunan secara terbuka daripada Sultan Terengganu atas segala kesilapan yang telah menimbulkan kemurkaan baginda.
Idris, juga pengerusi badan perhubungan Umno negeri berkata, beliau pernah mengadap Sultan, kini Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, pada 23 Februari lalu dan telah memohon keampunan baginda.
Bercakap dalam satu sidang akhbar di Subang petang ini, Idris berkata, beliau menghadap Tuanku Mizan untuk menyerahkan senarai calon BN negeri yang akan bertanding.
Katanya, beliau berbuat demikian sebagai menghormati baginda walaupun pada kebiasaannya senarai itu tidak diserahkan kepada sultan.
Idris menambah, beliau sepatutnya menghadap baginda sekali lagi sehari selepas pilihanraya umum 8 Mac, tetapi ia tidak menjadi kenyataan.
BN kembali mempertahankan Terengganu dengan memenangi 24 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri. Ia juga menguasai tujuh daripada lapan kerusi parlimen.
Katanya, beliau gagal menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk menyerahkan senarai ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri walaupun telah menunggu hingga tengah malam pada 9 Mac lalu.
"Saya ada temu janji dengan Yang di-Pertuan Agong di Kuala Lumpur jam 5 petang (9 Mac) tetapi tidak lama sebelum itu saya diberitahu bahawa pertemuan ditangguhkan.
"Tetapi saya tunggu sampai tengah malam, namun tidak dapat menghadap Agong," katanya.
Sehari selepas ini, majlis angkat sumpah pelantikan semula Idris sebagai menteri besar di Istana Maziah, Kuala Terengganu tiba-tiba ditangguhkan tanpa sebab dan tarikh baru tidak dinyatakan.
Penangguhan majlis ini memulakan krisis pelantikan jawatan itu selama 14 hari sehingga pejabat Sultan Terengganu mengumumkan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal, Datuk Ahmad Said, sebagai pengganti wakil rakyat Jertih itu.
Idris berkata, sebelum tarikh itu hubungannya dengan Baginda berjalan baik tetapi beliau tidak tahu sebab-sebab tidak dilantik semula bagi penggal kedua.
Ditanya sama ada kemurkaan baginda berpunca, antaranya, insiden rusuhan di Batu Buruk pada September tahun lalu, beliau berkata "saya tidak tahu."
Ditanya mengenai kedudukannya ini sebagai menteri besar, Idris berkata:
"Saya sedia apa jua keputusan asalkan ia memberi kebaikan kepada rakyat. Baik untuk rakyat, baiklah untuk saya."
Keputusan itu, tambahnya, termasuklah digugurkan daripada jawatan tersebut yang kini menjadi perebutan antara beliau dengan Ahmad.
"Jika isu ini (perebutan jawatan) berlarutan, rakyat kurang senang. Ini tidak menguntungkan sesiapa.
"Orang yang tidak suka saya, akan terus membuat fitnah terhadap saya dan penyokong saya akan membalas balik," katanya lagi.
Idris bagaimanapun terus mempertikaikan pelantikan Ahmad, yang dilantik Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) Ahad lalu, sebagai menteri besar yang baru.
Ahmad, yang juga ketua bahagian Umno Kemaman, memulakan tugasnya sebagai menteri besar pagi tadi.
Menurut kertas 'Kronologi Pelantikan Menteri Besar Terengganu' yang diedarkan kepada media, pelantikan Ahmad "tidak menurut undang-undang dan bercanggah" dengan undang-undang tubuh negeri dan "tidak menurut menurut perlembagaan", "tidak sah" dan "terbatal sama sekali."
Oleh itu Ahmad "dengan sendirinya terhalang menurut peruntukan perlembagaan daripada menjalankan fungsi dan tugas-tugas sebagai menteri besar," kertas itu dipetik.
Ditanya mengenai laporan bahawa 13 daripada 22 Adun yang sebelum ini menyokongnya, telah beralih menyokong Ahmad, Idris berkata setahunya, kesemua Adun itu masih ada bersamanya semalam.
Ditanya berapa orang Adun yang hadir bersamanya dalam sidang akhbar tadi, Idris berkata:
"Sebahagian besar ada bersama saya dalam sidang media ini, kecuali seorang dua yang kembali ke Terengganu atas urusan keluarga."
Difahamkan mereka menghadiri majlis menyambut harijadi wakil rakyat Kuala Besut Dr A Rahman Mokhtar, sebelum sidang akhbar itu.