Angkatan muda keadilan (AMK) PKR membuat laporan terhadap perdana menteri, timbalan perdana menteri serta 23 wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang didakwanya “bersikap biadap dan menderhaka” kepada Sultan Terengganu.
Laporan tersebut dibuat oleh timbalan ketua AMK pusat, Fariz Musa, di ibu pejabat polis daerah Kuala Terengganu jam 4.30 petang tadi.
Dalam laporannya itu, Fariz mendakwa, isu pelantikan menteri besar itu melanggar prinsip perlembagaan yang seharus menghormati keputusan sultan dan institusi beraja.
“Tindakan perdana menteri, timbalan perdana menteri dan 23 Adun tersebut sebagai menderhaka dan tindakan tegas perlu diambil,” katanya dalam laporan itu lagi.
“Saya dengan ini menyatakan keputusan Duli Yang Mahu Mulia dan Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) adalah keputusan yang tidak boleh diengkari dan dipertikaikan,” katanya dalam laporan tersebut.
Dalam laporan itu juga, Fariz berkata, pihak eksekutif tidak boleh keterlaluan dengan memperlekehkan dan secara terbuka menentang institusi raja berperlembagaan kerana ia boleh menyebabkan suasana buruk dan menjejaskan keharmonian negara dan negeri.
Lagi laporan polis
Sementara itu, AMK Terengganu akan membuat satu lagi laporan polis esok terhadap 23 Adun berkenaan, termasuk Datuk Seri Idris Jusoh atas dakwaan menderhaka kepada istana.
Laporan tersebut akan dibuat oleh Ketua AMK negeri, Rosdi Baba di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu.
"AMK mahu polis menyiasat kesemua Adun terbabit apa motif mereka bermati-matian mempertahankan Idris walaupun tidak direstui oleh istana.
"Tindakan Adun-Adun berkenaan tidak mencerminkan prinsip menjunjung raja berperlembagaan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Rosdi berkata, tindakan Adun BN itu lebih biadap daripada pemimpin DAP dalam isu membantah pelantikan menteri besar Perak baru-baru ini.
Katanya, beliau tidak faham mengapa Adun berkenaan berkonfrontasi kerana kedua-duanya merupakan dari parti sama iaitu Umno.
Rancang perhimpunan
Sementara itu, Rosdi berkata, satu perhimpunan membabitkan 10,000 rakyat Terengganu dirancang diadakan bagi menyatakan sokongan kepada istana.
Katanya, perhimpunan tersebut akan diadakan di Batu Buruk, Kuala Terengganu dalam masa terdekat ini serta perarakan ke Istana Tetamu.
"Kita menentang sikap penderhaka kerana ia bukan sahaja tidak beradab tetapi juga tidak menghormati institusi Raja.
"Kami melihat ada kain rentang yang ditampal di istana mengandungi perkataan yang tidak sesuai untuk ditujukan kepada istana.
"Sama ada mendapat permit polis, atau tidak perhimpunan tersebut akan tetap diadakan," katanya lagi.
Langkah sopan
Dalam perkembangan berkaitan, PKR negeri menggesa ketegangan antara istana dengan BN ditangani "dengan penuh berhemah dan berhati-hati, terutamanya dalam menjaga hubungan intim dengan pihak istana kerana ia amat sensitif bagi orang Melayu."
Dalam kenyataannya, setiausaha badan perhubungan parti itu Razali Alias berkata jika BN atau Umno tidak bersetuju dengan lantikan MPPR, langkah yang lebih sopan disyorkan dan bukannya melalui "kenyataan-kenyataan yang berbetuk penghinaan atau tekanan terhadap pihak istana."
Sementara itu, Badan Pencegah Rasuah (BPR) dilaporkan menyiasat aduan tiga wakil rakyat yang mendakwa cuba dibeli agar berpihak kepada Ahmad.
Akhbar Sin Chew Daily melaporkan, Mohd Zawawi Ismail (wakil Kuala Berang), Nawi Mohamad (Hulu Besut) dan Ramlan Ali (Jabi) melaporkan percubaan berpindah kem politik kepada badan itu.
Malaysiakini bagaimanapun setakat ini belum dapat mengesahkannya.