Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tindakan jika Ahmad jadi MB T'ganu
Diterbitkan:  Mar 22, 2008 11:26 PM
Dikemaskini: Mar 23, 2008 4:32 AM

Kemelut isu pelantikan menteri besar Terengganu berlarutan apabila setiausaha agung BN dan Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata Datuk Ahmad Said akan dikenakan tindakan disiplin Umno dan "menanggung akibat" jika beliau menerima pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan menteri besar esok.

Sambil mengingatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal supaya mematuhi peraturan parti, Tengku Adnan berkata Ahmad sepatutnya meletakkan kepentingan parti terlebih dahulu dan bukan dirinya.

Tengku Adnan berkata Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang juga presiden Umno, telah mengeluarkan suratcara pelantikan kepada Datuk Seri Idris Jusoh sebagai menteri besar dan tidak betul bagi Ahmad untuk mengangkat sumpah jawatan itu.

ahmad said terengganu 230308 Pejabat Sultan Terengganu hari ini mengumumkan Ahmad, 51, dilantik menteri besar besar dan majlis mengangkat sumpah di Istana Tamu pagi esok.

Menjelang keputusan istana itu, kesemua 23 Adun BN Terengganu dalam satu sidang akhbar memberi amaran untuk memboikot majlis esok atas alasan tidak menyokong calon lain selain Idris.

Bernama memetik Tengku Adnan sebagai berkata: "Kami semua adalah anggota komponen BN dan Umno. Oleh itu, adalah perlu bagi semua anggota untuk mematuhi keputusan yang diambil oleh pucuk pimpinan. Tidak kiralah apa hasilnya tetapi sekali keputusan telah dibuat, ia mesti dipatuhi semua anggota."

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan apakah bentuk tindakan disiplin yang akan diambil terhadap Ahmad, jika beliau terus menerima pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan esok.

Sementara itu, Malaysiakini difahamkan ada pihak-pihak tertentu yang dekat dengan Umno bercadang mengadakan perhimpunan di sebuah hotel tidak jauh dari Istana Tamu.

Dalam perkembangan lain, Tengku Adnan berkata Abdullah telah mengadakan pertemuan dengan pemimpin Umno negeri-negeri di Seri Perdana mulai semalam untuk mendengar sendiri daripada mereka punca BN kalah di lima negeri pada pilihanraya umum 8 Mac.

Semalam, Perdana Menteri menemui pemimpin dari Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka manakala hari ini, giliran pemimpin dari Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Terengganu.

"Ia adalah suatu bentuk sesi penjelasan. Terdapat juga sesi soal jawab.

"Selepas ini, kami akan mengadakan pertemuan antara mereka dengan Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan diikuti pertemuan dengan naib-naib presiden Umno," kata Tengku Adnan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS