Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dr Tiki: Saya setia pada BN
Diterbitkan:  Mar 22, 2008 7:27 PM
Dikemaskini: 1:00 PM

Ahli parlimen Mas Gading, Datuk Dr Tiki Lafe, menafikan khabar yang beliau bercadang keluar BN dan berpindah kepada pembangkang selepas digugurkan daripada barisan kabinet.

Satu laporan akhbar The Borneo Post menyebut, naib presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) berkata beliau bertemu timbalan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak pagi semalam dan perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada tengahari.

Dr. Tiki Lafe "Saya berjumpa mereka bagi memastikan mereka bahawa saya masih setia pada BN," kata Dr Tiki, dengan menambah beliau tidak senang dengan khabar-khabar angin mengenainya yang disebarkan oleh mereka yang dikenalinya.

Semalam Malaysiakini melaporkan Dr Tiki Lafe tidak dilantik semula menganggotai kabinet seperti diumumkan Selasa.

Bekas timbalan menteri kemajuan luar bandar dan wilayah itu kini bercuti dan enggan mengesahkan atau menafikan laporan beliau bakal meninggalkan BN.

Beliau dipandang tinggi dan berpengaruh luas apabila berjaya menang di lubuk pembangkang itu dengan menewaskan Dr Patau Rubis, seorang lagi ahli politik berpengaruh, pada 1999 dan 2004.

Sebelum ini ahli parlimen Serian, Richard Riot, dilaporkan telah keluar daripada Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), satu lagi komponen BN di Sarawak, bersama ramai ahli parti itu dari kawasannya selepas beliau tidak dilantik sebagai timbalan menteri.

Richard hari ini bersuara setelah berdiam diri selama beberapa hari sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi.

Beliau menafikan keluar parti dan menyifatkan berita beliau akan meninggalkan BN dan melompat kepada pembangkang hanya "pembohongan" dan "spekulasi" semata-mata.

SUPP semalam memanggil satu sidang akhbar dan berkata ahli parlimen itu telah menghubungi presidennya Tan Sri Dr George Chan Hong Nam.

Parti itu juga melahirkan rasa kesal berhubung laporan akhbar yang menyatakan beliau telah meninggalkan parti itu.

Kenyataan SUPP dikeluarkan ketua publisitinya Alfred Yap.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS